NANI Sahirah meraih emas dalam acara lontar peluru. -FOTO KPT
NANI Sahirah meraih emas dalam acara lontar peluru. -FOTO KPT
Daripada Syafiq Aznan di Malang


Malang: Kem olahraga meneruskan momentum pada saingan hari kedua selepas menambah satu lagi pingat emas dan pingat perak menerusi acara lontar peluru wanita.

Lontaran sejauh 15.20m meter (m) membolehkan Nani Sahirah Maryata merangkul pingat emas pada aksi di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (UNESA), pagi tadi.

Malaysia terus mendominasi acara lontar peluru wanita selepas pingat perak dimenangi Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar menerusi catatan 12.48m.

Sebagai rekod, ini pingat emas ketiga dari olahraga selepas Malaysia sudahpun memenangi dua pingat emas pada hari pertama acara olahraga membuka tirainya, semalam.

Ratu lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya di Ubon Ratchathani bagi edisi kali ini.

Pemegang rekod kebangsaan acara lempar cakera itu melakukan catatan 45.23m untuk meraih pingat emas di hadapan dua atlet tuan rumah, Nur Wahyu Aini (43.14m) dan Maria Aviliationo (42.47m).

Andre Anura Anuar kemudiannya meraih pingat emas dalam acara lompat jauh selepas mencatat lompatan terbaik 7.46 meter (m).

Kemenangan ini menyaksikan skuad negara mempertahankan pingat emas dalam acara terbabit yang sebelum ini dimenangi Lukman Hakim Ramlan di Ubon Ratchathani, dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 1:13 PM