SAODAH bersama pemainnya bawa cabaran negara.
SAODAH bersama pemainnya bawa cabaran negara.
Shamzsul Anuar Johan

Kuala Lumpur: Hasrat pasukan Gamebreakers FC (GBFC) yang mewakili Malaysia untuk ke separuh akhir Kejohanan Football Fives World Championship (F5WC) di Bangkok, baru-baru ini, tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kedua.

GBFC yang menjuarai F5WC peringkat kebangsaan di Shah Alam, Disember tahun lalu dipilih mewakili negara beraksi di Thailand, gagal melangkah jauh apabila disekat Ireland.

Laluan ke final seakan-akan tampak mudah apabila GBFC menjuarai aksi peringkat kumpulan yang turut dianggotai Botswana, Portugal dan UAE.

Walaupun bermula perlahan dengan seri 1-1 pada aksi pembukaan menentang Botswana, Malaysia bangkit mengatasi Portugal 2-1. Rentak kemenangan kemudian diteruskan dengan membenam cabaran UAE 4-1.

Pada perlawanan pusingan kedua peringkat kalah mati itu, GBFC mensesiakan banyak peluang apabila buntu menembusi benteng Ireland yang menang 3-1.

“Kami banyak mensia-siakan peluang selain cuaca panas yang membuatkan pemain cepat letih. Ireland hanya menunggu kami membuat kesilapan. Pada babak kedua, mereka mendominasi perlawanan untuk menang selesa,” kata kapten GBFC Herwan Felani, 23.

Pengurus GBFC Saodah Bakar, 47, bangga dengan aksi pemainnya walaupun tewas kerana mampu bersaing dengan pasukan kuat dari Eropah.

“Malah, jurulatih Ireland juga memuji aksi pemain kita,” katanya.

Colombia muncul juara selepas menewaskan Jepun 3-1 di final.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:20 AM