KEADAAN di lokasi tumpahan minyak yang dikesan oleh Luas. FOTO ihsan Luas
KEADAAN di lokasi tumpahan minyak yang dikesan oleh Luas. FOTO ihsan Luas
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan tumpahan minyak di pintu air Jalan Tangki di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Luas dalam kenyataan berkata, pihaknya segera ke lokasi dan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca tumpahan minyak terbabit.

"Pemerhatian di tapak mendapati punca tumpahan itu daripada sebuah premis kilang penyimpanan minyak sawit.

"Semakan lanjut di premis dimaklumkan terdapat kebocoran paip hos di dalam premis yang menyebabkan tumpahan minyak masuk ke dalam longkang premis dan mengalir ke dalam parit berhampiran.

"Berdasarkan semakan Luas di tapak, tiada aliran minyak memasuki Sungai Aur susulan penutupan pintu air di lokasi," demikian kenyataan di Facebook rasmi Luas.

Menurutnya, pihak premis menghentikan operasi dan melaksanakan pembaikan paip hos terbabit.

Luas juga sudah mengarahkan pihak premis untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa tumpahan di kawasan terbabit.

"Pada masa sama, pihak bomba juga sudah memasang 'oil boom' di parit berkenaan bagi mengawal tumpahan.

"Luas melakukan pensampelan kualiti air dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan.

"Luas akan mengambil tindakan lanjut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79, Enakmen Luas 1999 di atas kesalahan mencemarkan sumber air," katanya.

Dalam pada itu, Luas mengingatkan pihak premis agar memastikan operasi, keselamatan dan penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan dipantau dengan sempurna agar tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai.

"Kerajaan Selangor, Luas dan agensi-agensi berkaitan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kecuaian mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 11:26 AM