Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meneruskan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi susulan insiden kesan dan bau seakan minyak kelapa di Sungai Kundang, kelmarin. FOTO IHSAN FB LUAS
Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meneruskan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi susulan insiden kesan dan bau seakan minyak kelapa di Sungai Kundang, kelmarin. FOTO IHSAN FB LUAS
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) membuka kertas siasatan berhubung insiden pencemaran minyak kelapa di Sungai Kundang, kelmarin.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999 dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pihak terbabit.

Pada masa sama, Luas berkata, pemantauan keadaan semasa diteruskan di sungai terjejas dan bersiap siaga untuk tindakan mitigasi mengikut keperluan.

"Luas melaksanakan pemantauan intensif bermula pagi kelmarin (1 Mac) dan sepanjang malam sehingga semalam di Sungai Sembah, di mana bacaan bau dan pemerhatian keadaan aliran sungai dianalisa dan disemak setiap 30 minit.

"Kerja-kerja pembersihan di lokasi terkesan dengan aliran pencemaran minyak juga dipantau rapi, yang mana ia selesai sepenuhnya jam 7 malam semalam," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Luas memaklumkan, sehingga 7.30 malam ketika operasi ditamatkan, didapati keadaan Sungai Kundang dan Sungai Sembah normal dan tiada sebarang potensi pencemaran.

Terdahulu, media melaporkan agensi itu menemui kesan dan bau seakan minyak kelapa ketika melakukan rondaan dan pemantauan di Sungai Kundang, pada 11 pagi kelmarin.

Berikutan itu, Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan untuk tindakan siasatan menyeluruh serta mitigasi segera.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 10:00 AM