LUAS mengesan pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang. FOTO Ihsan LUAS
LUAS mengesan pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang. FOTO Ihsan LUAS
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta agensi berkaitan mengawal pencemaran di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat berjaya mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, semalam LUAS menerima dua aduan berhubung insiden pencemaran sumber air yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA (Kod Kuning).

"Ketika pemantauan secara 24 jam dalam Ops Statik Sungai Gong, Rawang pada 10.45 pagi, kita mengesan pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang.

"Siasatan awal LUAS mendapati pencemaran bau yang dikesan adalah daripada bahan biodiesel dan mencatatkan keputusan melebihi 10 ton pada aliran yang dilaporkan di kawasan yang disyaki di kawasan Industri Kundang Jaya.

"Siasatan lanjut LUAS bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke sebuah premis yang disyaki itu mendapati bau yang sama sehingga 10 ton dikesan di pelepasan akhir premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, LUAS mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit untuk menghentikan discaj efluen serta-merta dan melaksanakan tindakan pembersihan segera.

"LUAS melaksanakan langkah nyah bau dengan meletakkan 12 beg bersamaan 300 kilogram karbon aktif untuk mengawal pencemaran di lokasi pertemuan Sungai Kundang.

"Pensampelan dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di sekitar aliran Sungai Kundang dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisa pengenalpastian kandungan bahan dan tindakan berkaitan selanjutnya," katanya.

Sementara itu katanya, LUAS juga mengesan insiden tumpahan minyak diesel ke dalam Tasik Putrajaya sekitar 9.35 pagi semalam disebabkan kebocoran 'skid tank' paip saluran bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Katanya, siasatan mendapati minyak diesel mengalir ke longkang IKN dan masuk ke Tasik Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya (PPJ) mengarahkan IKN melaksanakan kerja-kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

"Beberapa langkah dijalankan oleh IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan 'oil pad' dan 'oil boom' pada sistem saliran dan menyedut minyak yang bercampur.

"Insiden ini berpotensi mencemarkan Sungai Langat dan juga menyebabkan henti tugas LRA Bukit Tampoi yang terletak di bahagian hilir pada anggaran 10 kilometer daripada melimpah ke tasik berkenaan.

"LUAS sudah memohon kerjasama PPJ untuk meletakkan 'oil boom' di kawasan 'spillway' Tasik

Putrajaya ke Sungai Langat bagi mengelakkan pencemaran berlarutan," katanya.

Beliau berkata, pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak-pihak berkaitan.

"Kedua-dua insiden semalam berjaya ditangani segera oleh LUAS, Air Selangor, PPJ serta agensi-agensi terbabit. Tiada henti tugas LRA dilaporkan, dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna.

"Laporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan.

"Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air adalah tanggungjawab bersama. Keprihatinan dan kerjasama semua adalah diharapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 12:46 PM