ISHAM Jalil. FOTO Arkib NSTP.
ISHAM Jalil. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Isham Jalil yang didakwa menghina mahkamah berhubung kenyataan mengenai kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

"Representasi dikemukakan pemohon (Isham) ditolak oleh AGC. Kami mohon untuk mahkamah menetapkan tarikh pendengaran kes," kata Mohamad Mustaffa yang turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Representasi itu dihantar kepada AGC pada 25 Mac lalu berkaitan permohonan maaf secara terbuka yang akan dibuat Isham terhadap badan kehakiman.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun mewakili Isham atau nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil.

Pada 4 Mac lalu, mahkamah membenarkan permohonan AG untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham.

Peguam Negara dalam permohonan yang difailkan pada 28 Disember tahun lalu, turut memohon supaya mahkamah memenjara atau mengenakan hukuman denda terhadap Isham.

Permohonan itu difailkan atas alasan Isham mengucapkan kata-kata berbentuk penghinaan kepada mahkamah dalam satu temu bual bertajuk Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa? yang disiarkan di laman Facebook The Malaya Post pada 30 September tahun lalu.

Peguam Negara mendakwa dalam temubual itu, Isham mempersoal proses perbicaraan dan rayuan membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes berkaitan syarikat SRC International serta 1MDB.

Isham turut didakwa mempertikai proses pendengaran permohonan penarikan diri Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini serta proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam kes SRC International.

Peguam Negara juga mendakwa perkataan yang diucapkan oleh Isham mengaibkan Badan Kehakiman dan boleh menggugat keyakinan orang awam terhadap institusi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 12:22 PM