Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, 65, memaklumkan tidak ambil kisah dengan kecaman masyarakat apabila mengumumkan kehamilan terbaru isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28.

Raja Pop ini sebaliknya berkata, zuriat kelima bersama isterinya yang bakal dilahirkan pada awal tahun hadapan adalah kurniaan rezeki Allah yang mustahil ditolak.

"Saya sedar banyak komen-komen negatif dilemparkan terhadap saya berkenaan perkara ini. Tapi saya ambil pendekatan tidak pedulikan kata-kata mereka di media sosial.

"Tak dinafikan memang saya pernah keluarkan kenyataan tak nak tambah anak lagi lepas kehadiran anak keempat (bongsu) lebih setahun lalu.

"Kadang-kadang kita tak boleh rancang perkara seperti ini kerana semua ini ketentuan Allah dan inilah yang dinamakan rezeki.

"Ada orang berusaha macam mana sekali pun tapi kalau bukan rezeki takkan jadi juga," katanya ditemui di majlis sidang media konsert Divas & Diamonds 2024, di sini petang semalam.

Beliau turut menolak tanggapan tanggungjawabnya sebagai pengedar produk kesihatan sebagai faktor isterinya mengandung lagi.

"Itu tak berkaitan dan ini membabitkan soal kesihatan isteri. Saya serahkan kepada isteri sama ada masih sanggup untuk mengandung lagi selepas ini.

"Kami dah rujuk pada doktor pakar mengenai keselamatan isteri untuk bersalin melalui kaedah pembedahan buat kali kelima.

"Jadi kami kena fikirkan faktor keselamatan isteri apakah masih boleh mengandung lagi kerana sudah lima kali dibedah.

"Saya tak boleh fikir pasal diri sendiri saja tapi kena fikirkan juga kemampuan isteri," katanya.

Berkongsi perasaan bakal menimang cahaya mata pada usia sekarang, Jamal berkata, kehadiran cahaya mata umpama satu terapi.

"Kehidupan berkeluarga dengan anak sesuatu yang menyeronokkan. Ia umpama satu terapi buat saya.

"Saya tak berasa letih, marah mahupun bosan kerana mereka inilah hiburan saya.

"Lagipun saya bukan jenis yang suka keluar rumah, habis kerja saya terus pulang dan bila sehari tak jumpa mereka memang rasa rindu.

"Jadi sampai saja ke rumah, saya akan cium dan akan tidur bersama anak," katanya yang mengharapkan zuriat perempuan.

Hasil perkongsian hidup dengan Zai Izzati yang dinikahi pada 1 April 2017, mereka dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5; El Isaac Yamani, 4; Iskandar Rayyan Yamani, 2; dan Rahil Laura Salsabila Yamani yang kini berusia setahun lebih.

Jamal juga memiliki dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamal akan menjayakan Konsert Divas & Diamonds 2024 yang akan berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September ini.

Turut terbabit membuat persembahan ialah Datuk Seri Rossa, Joe Flizzow dan Dayang Nurfaizah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 12:14 PM