Dr Muhamad Akmal Saleh (kanan); Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri).
Dr Muhamad Akmal Saleh (kanan); Datuk Mohd Jafni Md Shukor (kiri).
Oleh RedzuanMuharam


Melaka: "Tak kisahlah orang nak panggil saya YB TikTok, YB Facebook (Fb) atau YB Instagram (IG) sekalipun kerana yang penting, aduan rakyat selesai," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh, 36, yang berpengaruh di laman sosial sehingga mengumpul lebih 524,000 pengikut di TikTok.

Populariti Dr Muhamad Akmal juga terbukti apabila setiap video dimuat naik meraih ratusan ribu hingga jutaan tontonan malah sering tular di laman sosial.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, dia sudah lama membuka akaun TikTok namun semakin aktif sejak berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tahun lalu.

Baginya, TikTok platform yang relevan dan membolehkannya mendekati rakyat walaupun tidak bersemuka.

"Hari ini zaman sudah berubah, sekarang zaman teknologi, jadi sebagai wakil rakyat, ini platform yang baik kerana boleh menjadi medium interaksi antara rakyat dengan pemimpin.

"Pemimpin boleh berinteraksi dengan rakyat secara telus. Saya tak rasa apa dikongsikan itu satu 'content' (bahan kandungan).

"Tapi ia lebih kepada cara kita maklumkan apa tindakan diambil kerana kalau kita kongsi (video), baru rakyat tahu yang YB kawasan mereka buat kerja.

"Kita buat (kongsi video) macam itu pun sebab nak elakkan fitnah kerana ada kalanya, segelintir rakyat kata kita tak buat kerja sebab mereka tak nampak," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, tidak salah untuk pemimpin masa kini bergerak seiring trend selagi tidak mengganggu tugas kerana apa yang penting adalah terus menggiatkan usaha membantu rakyat.

"Jika dulu hebahan mengenai aktiviti wakil rakyat adalah di televisyen.

"Bagaimanapun, tak salah jika kita lari daripada norma kebiasaan serta cara 'cliche' dengan aktif di laman sosial seperti TikTok.

"Bagi saya, zaman YB disambut dengan kompang sudah berlalu, jadi kita kena berubah.

"Sejak aktif, memang banyak aduan saya terima di laman sosial dan saya sudah tetapkan kepada pasukan untuk beri respon kepada pengadu dalam tempoh 24 jam.

"Saya memang ada kakitangan di pejabat Exco dan ketua kampung akan pergi dahulu sebelum saya menyusul," katanya yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Berhubung penerimaan pengikut, Dr Muhamad Akmal berkata, rata-ratanya beri komen positif dan berpuas hati dengan caranya menyelesaikan masalah walaupun beliau agak lantang.

"Lantang bukan sebab kurang ajar tetapi kerana tugas, tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat.

"Mana-mana pihak yang ada cubaan khianati rakyat, saya kena pertahankan, sama juga jika ada yang buat rakyat terseksa.

"Tapi ada berapa kerat sahaja video di TikTok tunjukkan saya lantang kerana bila dengan orang tua misalnya, saya tetap kena hormat.

"Saya lantang bertempat, garang sebab ada perkara untuk lindungi rakyat namun faham tak semua orang senang malah saya pernah dapat ugutan bunuh tapi saya serahkan pada Allah SWT untuk jaga," katanya.

Meskipun perlu membahagikan masa antara tugas sebagai doktor dan wakil rakyat, Dr Muhamad Akmal seronok kerana dapat membantu lebih ramai orang dengan pengaruhnya sebagai ahli politik.

"Saya bermula dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukan parti politik malah aktif (dalam NGO) sejak zaman mahasiswa lagi.

"Selepas sudah bekerja pun saya masih aktif dalam NGO yang ditubuhkan dengan rakan, jadi mungkin sebab dilatih bersama masyarakat, maka saya sudah biasa.

"Cuma sekarang saya ada sedikit pengaruh, jadi gunakan jawatan saya untuk bantu lebih ramai rakyat," katanya.

'Sekarang nak buat kerja kena tunjuk'

Kulai: "Zaman sekarang ini dah tak boleh kerja diam-diam, kena beritahu dengan kongsi di media sosial supaya rakyat tahu kawasan mereka masih ada wakil rakyat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai Datuk Mohd Jafni Md Shukor, 52, yang dilihat semakin aktif di TikTok dengan mempunyai lebih 60,000 pengikut.

Menerusi platform berkenaan, Mohd Jafni berkongsi videonya turun padang bagi menyantuni selain menyelesaikan isu rakyat di sesuatu kawasan.

Mohd Jafni yang menceburi dunia politik sejak lebih 25 tahun lalu berkata, sebelum ini, beliau hanya ada akaun Facebook (Fb) dan Instagram (IG) namun mengaktifkan TikTok sejak dua tahun lalu selepas menjadi calon serta bertanding dalam pemilihan wakil rakyat.

"Mulanya berat juga (untuk aktif di TikTok) tetapi saya cuba memandangkan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) pun galakkan YB (wakil rakyat) gunakan platform berkenaan untuk kongsi informasi berkaitan kerajaan.

"Lagipun saya nampak ia juga peluang mendekatkan diri dan berinteraksi dengan rakyat tanpa protokol kerana ramai juga tak pernah jumpa.

"Tapi menerusi TikTok, saya dapat rasakan diri ini dekat dengan pengundi di peringkat akar umbi," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, setakat ini sambutan diterima di TikTok amat baik malah beliau bukan hanya mengumpul pengikut tetapi juga aduan serta pandangan di ruangan komen.

Mohd Jafni juga tidak menyangka apabila siaran langsung dijalankan boleh mencecah sehingga 13,000 tontonan dalam satu-satu masa.

"Saya buat 'live' bukan niat nak terlalu menunjuk apa saya buat sebenarnya tapi kini sudah jadi macam satu rutin nak berinteraksi dengan pengikut.

"Awal dulu ada orang kata saya berlakon tapi lama-kelamaan mereka yang menonton sudah faham.

"Bagi saya, di media sosial tentu ada pro dan kontranya, yang baiknya rakyat boleh sampaikan aduan secara terus malah hantar rungutan menerusi kiriman mesej di TikTok.

"Ada masalah dibangkitkan sudah bertahun lamanya, ada juga isu berulang, jadi nampak di situ kelebihan platform seperti TikTok.

"Tambahan pula, tindakan susulan diambil boleh dikongsikan menerusi perkongsian video saya ke tapak lokasi, jadi rakyat boleh nampak saya cakna aduan mereka dan cuba selesaikan," katanya yang membalas sendiri komen pengikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 12:01 PM