GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


TINDAKAN pantas petugas berjaya mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang, Banting selepas pencemaran sisa tumpahan minyak dikesan pada 11.50 pagi semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataannya memaklumkan insiden berkenaan dikesan susulan laporan yang diterima pihaknya menerusi Ops Sumber Air yang sedang dijalankannya bersama beberapa agensi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan secara menyeluruh yang dijalankan bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam mendapati pencemaran itu berpunca daripada Stesen Jana Kuasa Kuala Langat.

"Siasatan di kawasan berkenaan menemukan sisa tumpahan yang disyaki minyak diesel di premis tersebut dan kami dimaklumkan oleh wakil premis bahawa insiden berlaku susulan tumpahan minyak dari peralatan pemisah minyak ekoran kekerapan hujan lebat.

"Wakil premis memaklumkan pihaknya sudah mengambil tindakan pembersihan segera dengan memasang 'oil boom' berdekatan dengan kawasan pelepasan akhir stesen janakuasa itu.

"Aliran sisa minyak diesel sudah berjaya dikawal dan tidak mengalir ke Sungai Langat yang mana kerja-kerja pembersihan dan penyedutan baki sisa minyak turut dijalankan oleh premis tersebut," kata kenyataan itu.

LUAS menjelaskan, wakil premis turut memaklumkan pihaknya menggunakan 'oil pad' dan akan meletakkan karbon aktif (AC) berhampiran premis untuk mengawal pencemaran.

Katanya, tindakan pantas kawalan di tapak berjaya mengelakkan henti tugas LPA Labohan Dagang seterusnya tiada gangguan bekalan air berlaku kepada pengguna.

"Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan LUAS bersama agensi berkaitan bagi memastikan tiada henti tugas loji dan gangguan bekalan air.

"Selangor sentiasa komited dalam memastikan kelangsungan sumber air di Selangor dan menyeru kepada semua supaya prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutamanya sungai," katanya.

LUAS juga meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 11:59 AM