JKDM Sarawak merampas dadah seberat 60 kilogram bernilai RM1.9 juta di Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi.
JKDM Sarawak merampas dadah seberat 60 kilogram bernilai RM1.9 juta di Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengenalpasti ada cubaan sindiket menjadikan Sarawak sebagai hab pengedaran dadah Borneo berikutan banyak kes penyeludupan dari Semenanjung dikesan tertumpu di destinasi di negeri ini.

Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, terbaru pihaknya merampas 10 kotak kiriman kargo udara yang mencurigakan dalam serbuan di perkarangan sebuah syarikat kargo pada jam 3.50 petang, Khamis lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap 10 kotak itu membawa kepada penemuan 60 paket bercetak 'Guan Yi Wang' yang mengandungi serbuk kristal dadah jenis syabu atau methamphetamine.

"Secara keseluruhan, berat 60 paket ketulan kristal itu ialah 60,670 gram yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta dan ini adalah rampasan dadah terbesar dilakukan JKDM Sarawak tahun ini.

"Sehubungan itu, kita khuatir Sarawak dijadikan hab pengedaran dadah di Borneo berikutan beberapa rampasan dadah dalam jumlah yang besar iaitu 60 kilogram (kg) dalam rampasan kali ini manakala di Miri bulan lalu seberat 49 kg dan sebelum ini (Mac 2024) di Matang, Kuching sebanyak 46 kg," katanya pada sidang media di ibu pejabat JKDM Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norizan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan rangkaian sindiket pengedaran dadah itu mempunyai kaitan berikutan modus operandi yang sama.

"Mereka menggunakan khidmat penghantaran kargo udara antara wilayah dari Kuala Lumpur ke Kuching dengan membuat pengiktirafan tidak benar pada Borang Kastam No.3 iaitu menyembunyikan bahan narkotik bersama barangan keperluan rumah.

"Berdasarkan modus operandi, ada kemungkinan pengedaran dadah ke Sarawak adalah dalam rangkaian yang sama dan kami sedang menjalankan siasatan terperinci mengenainya," katanya.

Norizan berkata, dadah itu dipercayai diperoleh dari negara lain sebelum dibawa ke Semenanjung seterusnya diterbangkan ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Setibanya di Sarawak (sama ada Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri), dadah berkenaan akan diseludup pula ke negara jiran, Indonesia.

Menurutnya lagi, dalam rampasan terbaharu itu, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Turut dirampas sebuah lori yang digunakan bagi mengangkut dadah terbabit dan kini kenderaan itu disita mengikut Seksyen 30(1) ADB 1952.

Selain itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan serta barangan lain dengan menyalurkan maklumat menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau terus ke pejabat JKDM terdekat.

"JKDM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 12:34 PM