KAKITANGAN memasang 'oil pad' untuk mengawal aliran minyak. FOTO Ihsan FB LUAS.
KAKITANGAN memasang 'oil pad' untuk mengawal aliran minyak. FOTO Ihsan FB LUAS.
Norzamira Che Noh


PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Ops Sumber Air berjaya mengesan satu insiden pencemaran di alur KL-Larut ke Sungai Selangor pada 11.20 pagi, semalam.

Bagaimanapun, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) dilakukan dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, susulan itu, Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit.

"Hasil siasatan menemukan kesan tompokan minyak yang disyaki minyak hidraulik berhampiran sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pengilangan besi.

"Bagaimanapun, kilang berkenaan sudah menghentikan operasi sementara waktu bermula pada 18 Mac lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Siasatan di tapak juga menemukan longgokan tong minyak kosong selain terdapat kolam sisa minyak terpakai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, LUAS mengambil tindakan pantas dengan memasang 'oil-boom' dan 'oil-pad' di kawasan alur terbabit bagi mengawal baki aliran minyak pada jarak 600 meter dari mengalir ke Sungai Selangor.

KAKITANGAN memasang 'oil boom' untuk mengawal aliran minyak. FOTO Ihsan FB LUAS.
KAKITANGAN memasang 'oil boom' untuk mengawal aliran minyak. FOTO Ihsan FB LUAS.

Katanya, Air Selangor juga turut memasang 'oil-boom' berdekatan muka sauk Loji Rawatan Air (LPA) SSP1, SSP2 dan SSP3.

Selain itu, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) sedang dalam proses untuk menyedut sisa minyak berkenaan dengan kadar segera.

"LUAS turut sudah mengarahkan pemilik premis supaya menyediakan penghadang minyak bagi tangki simpanan minyak diesel untuk mengurangkan risiko tumpahan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan arahan lapangan kepada pemilik premis supaya menyimpan tong minyak kosong itu di kawasan tertutup," katanya.

Menurut kenyataan itu, pensampelan dilakukan LUAS dan Air Selangor serta pemantauan rapi di tapak dilaksanakan dari semasa ke semasa bersama pihak terbabit bagi memastikan pencemaran terkawal dan ditangani sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 11:39 AM