Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat pagi ini sedikit cemas apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kelihatan tidak selesa dan percakapannya tersekat-sekat ketika memulakan sesi jawab lisan.

Mengikut aturan mesyuarat beliau menjawab soalan pertama dikemukakan Wong Chen (PH-Subang), namun tiba-tiba batuk, tercungap-cungap dan memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan dirinya.

Keadaan itu menyebabkan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), meminta Loke berehat dan menggesa pemeriksaan di hospital.

"Relaks dulu Yang Berhormat (YB), kena periksa di hospital. Bahaya, bahaya," katanya.

Loke juga dilihat menepuk dadanya beberapa kali, sambil memberi isyarat kepada timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah, yang turut berada di dalam Dewan, untuk meneruskan sesi itu.

Selepas mengambil alih sesi itu, Habibollah menyuruh Loke duduk dan bertenang.

Habibollah menjawab soalan Chen berhubung garis panduan untuk membenarkan pemandu orang kurang upaya (OKU) dengan lesen A/A1 untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing, dan rancangan kerajaan untuk mengubah garis panduan bagi membenarkan pemandu OKU untuk mendapatkan lesen PSV.

Bagaimanapun, Loke kemudian mengambil alih semula tugas berkenaan daripada timbalannya dan menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Chen.

Terdahulu Hasbi berkata, dasar semasa Pelesenan Pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam hanya membenarkan pemegang Lesen Memandu (LMM) Kelas D/ DA untuk memohon Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing.

Katanya, pemegang LMM Kelas A/ A1 pula tidak dibenarkan untuk memohon Lesen Vokasional bagi apa-apa kelas.

"Di bawah Seksyen 30, Akta Pengangkutan Jalan 1987 mensyaratkan seorang pemohon perlu membuat akuan dalam borang yang ditetapkan sama ada atau tidak dia menghidap apa-apa penyakit atau ketidakdayaan jasmani yang mungkin menyebabkan pemanduannya menjadi suatu punca bahaya kepada orang lain.

"Bagaimanapun, dasar semasa tidak menghalang Orang Kurang Upaya (OKU) dari kategori pendengaran dan/ atau pertuturan yang memiliki Kad OKU oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memegang LMM Kelas D/ DA untuk memohon Lesen Vokasional PSV E-Hailing dengan pengesahan kesihatan daripada pengmal perubatan berdaftar," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Chen berhubung kes seorang pemandu orang kurang upaya (OKU) dipukul oleh pengiring kerabat diraja Johor, Loke berkata, kes itu kini di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Namun katanya, bagi pemandu OKU, khususnya pemandu pekak, sudah ada dasar yang membenarkan mereka memandu.

"Banyak juga pemandu pekak yang diberikan kelulusan," katanya.

LOKE tidak selesa dan dilihat tercungap ketika menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) di Dewan Rakyat hari ini.
LOKE tidak selesa dan dilihat tercungap ketika menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) di Dewan Rakyat hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 11:56 AM