MOHD Noor Helmy mempunyai satu juta pengikut di TikTok (kiri). Perkongsian Baddrol di Tiktok ketika menyampaikan sumbangan kepada penduduk (kanan).
MOHD Noor Helmy mempunyai satu juta pengikut di TikTok (kiri). Perkongsian Baddrol di Tiktok ketika menyampaikan sumbangan kepada penduduk (kanan).
Oleh Redzuan Muharam


Melaka: "Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hanya mandat namun tugas sebenar saya adalah menjadi pekerja kepada rakyat," kata Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, 43, mengenai prinsipnya sejak menyandang jawatan berkenaan hasil kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.

Menyedari amanah digalas, Mohd Noor Helmy yang menyandang jawatan sebagai Adun Duyong tidak hanya menunggu waktu pilihan raya sahaja untuk tunjuk muka sebaliknya beliau menjadikan rutin turun padang sebagai kelaziman bagi menyantuni rakyat di peringkat akar umbi.

Pengaruh yang ada juga dimanfaatkan dan ia terbukti apabila dapat mengumpul lebih satu juta pengikut di TikTok hasil perkongsiannya di platform berkenaan.

Berkongsi tujuannya aktif di TiKtok, Mohd Noor Helmy berkata, bukan populariti yang dicari sebaliknya beliau menggunakan platform itu sebagai medium untuk memaklumkan kepada rakyat bahawa aduan disalurkan mendapat perhatiannya.

"Saya mula aktif di TikTok sejak akhir 2022 selepas satu ucapan saya mendapat perhatian di media sosial.

"Apa saya cuba tekankan adalah mengenai isu kos sara hidup dan masalah rakyat. Perkongsian di TikTok itu adalah untuk beri kefahaman kepada rakyat mengenai hak mereka.

"Apabila mereka faham, kurang aduan dan masalah yang ada juga dapat diselesaikan.

"Kepuasan saya apabila dapat ubah hidup masyarakat sebenarnya, maksudnya jika hari ini mereka penerima tetapi esok jadi pemberi sekali gus keluar daripada kemiskinan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini.

Mohd Noor Helmy berkata, reaksi diterima di TikTok bercampur baur kerana ada yang melontarkan pandangan positif dan segelintirnya negatif.

"Saya terima saja termasuk kecaman kerana saya yang pilih aktif di laman sosial. Ada yang kata saya menunjuk dan sesetengah anggap saya biadap kerana tengok cara cakap dalam video.

"Saya tak salahkan mereka (netizen) pun kerana kalau asyik dipuji nanti, berasa terapung pula.

"Lagipun satu masa saya pernah jadi rakyat, hari ini pemimpin, jadi faham bagaimana perasaan mereka, cuma ada ketika, komen terlalu banyak, jadi memang tak sempat untuk baca semua," katanya.

Ditanya sejauh mana akan aktif di media sosial, Mohd Noor Helmy berkata, beliau akan terus berkongsi apa yang dilakukan sebagai salah satu cara untuk mendekatkan diri dengan rakyat walaupun di alam maya.

"Ada atau tidak media sosial, saya tetap kena laksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana perkongsian itu hanya sampingan.

"Apa yang penting, komuniti tahu apa yang saya lakukan sepanjang menjadi Adun di kawasan mereka.

"Saya pun tak tahu akan tercalon lagi atau tidak penggal akan datang, jadi biarlah perkongsian di TikTok itu jadi kenangan kerana enggan perkhidmatan saya berakhir dengan sesalan jika tak buat sesuatu untuk rakyat.

"Alhamdulillah, saya dapat lakukan bermacam inisiatif bantu rakyat pun dengan sokongan kepimpinan setempat, bukan hasil kerja saya seorang," katanya.

Baddrol mahu generasi muda lebih banyak buat kebaikan

Gurun: Jika dahulu, peminat dan pengikut Baddrol Bakhtiar boleh melihat perkongsian aktivitinya bermain bola sepak namun bekas pemain kebangsaan itu kini lebih cenderung berkongsi rutinnya sebagai wakil rakyat.

Menyedari peredaran zaman, Baddrol, 36, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun menjadikan TikTok sebagai platform untuk mendekati rakyat menerusi perkongsian aktiviti turun padang.

Baginya, mesej positif dan bermanfaat seharusnya dikongsi dengan lebih ramai orang menerusi media sosial supaya menjadi contoh sekali gus menarik masyarakat untuk turut sama berbuat kebaikan.

"Saya percaya pemikiran manusia dibentuk dengan apa yang mereka baca dan lihat.

"Jadi semakin banyak perkara bermanfaat yang mereka baca dan lihat, semakin kuat keinginan melakukan kebaikan.

"Lagipun saya lihat ramai golongan muda aktif di TikTok, maka menjadi tanggungjawab saya memastikan generasi sekarang ikut sama melakukan kebaikan khususnya dengan membantu mereka yang memerlukan," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Meskipun sibuk dengan tugas hakiki, Baddrol mengakui sempat meluangkan masa membaca semua komen yang ditinggalkan pengikut serta warganet.

Menurutnya, banyak maklum balas positif dan komen membina yang diterima dan beliau akan mengambil idea serta saranan diberi untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.

"Media sosial adalah platform orang ramai melontarkan pandangan, jadi saya tak boleh kawal apa mereka ingin katakan tapi saya percaya niat baik akan menghasilkan keputusan yang baik.

"Apa pun, saya bersyukur dengan teknologi yang laju dan pantas kini menjadikan dunia berada di hujung jari.

"Kalau dahulu, rakyat perlu membuat janji temu dan mengikut masa lapang wakil rakyat tapi kini teknologi menjadikan medium penyampaian yang ada lebih mudah.

"Rakyat boleh terus adukan masalah dan kami wakil rakyat boleh mengambil tindakan segera.

"Ia mewujudkan interaksi dua hala walaupun secara maya dan masyarakat jadi lebih dekat dengan wakil rakyat yang dipilih mewakili mereka," katanya yang menganggap semua rakyat Kedah sebagai pasukannya dan memainkan peranan dalam posisi masing-masing.

Media sosial medium YB tonjol diri, luaskan pengaruh

Kuala Lumpur: "Ahli politik mesti disedari kewujudannya dan popular, kalau orang tak kenal mereka, itu masalah," kata pensyarah kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Dr Muhammad Asri Mohd Ali ketika diminta mengulas mengenai pendekatan kebanyakan wakil rakyat masa kini yang dilihat aktif di media sosial hingga mengumpul ramai pengikut.

Menurutnya, keterbukaan wakil rakyat untuk aktif di media sosial adalah satu perkembangan yang baik dalam dunia politik kerana platform itu sememangnya medium buat mereka menonjolkan diri dan meluaskan pengaruh.

Justeru, Muhammad Asri melihat tiada salahnya pemimpin terbabit memanfaatkan media sosial kerana dengan cara itu, mereka tidak akan ketinggalan dan lebih cakna dengan isu semasa khususnya yang berlaku di kawasan mereka.

"Saya lihat sebahagian wakil rakyat pandai manfaatkan media sosial, mungkin kerana mereka sedar zaman sekarang tak macam dahulu.

"Rata-rata orang sekarang pun lebih percayakan media sosial dan itu hakikat yang tak boleh nak dinafikan, jadi apabila wakil rakyat bijak mengetengahkan nama yang juga jenama diri mereka di situ, maka rakyat khususnya pengundi tahu apa mereka lakukan.

"Ia kerana pengaruh media sosial sangat besar hingga boleh mengubah kefahaman dan ideologi.

"Jadi, bila wakil rakyat itu bijak rebut peluang dengan banyak ke depan, tidak kira dalam melontarkan pandangan mereka atau berkongsi aktiviti dilakukan, maka mereka lebih dikenali dan akan dihargai masyarakat berbanding senyap sahaja," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Bagaimanapun Muhammad Asri mengakui media sosial juga boleh menjerat wakil rakyat jika mereka tersilap langkah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 12:16 PM