ALIRAN air berwarna biru dikesan Luas di kawasan Jalan Sellathevan, Klang, tengah hari semalam. FOTO Ihsan FB LUAS
ALIRAN air berwarna biru dikesan Luas di kawasan Jalan Sellathevan, Klang, tengah hari semalam. FOTO Ihsan FB LUAS
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Pelepasan cat di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Omboh di sini, disyaki mengakibatkan aliran air berwarna biru, semalam.

Terdahulu, kejadian 12.30 tengah hari itu dikesan di kawasan Jalan Sellathevan, Klang, menyebabkan pasukan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bergegas ke lokasi.

Agensi itu berkata, siasatan dilakukan sekitar kawasan berhampiran bagi menjejaki punca sebenar.

"Semakan lanjut mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran memasuki longkang berhampiran yang seterusnya mengalir ke dalam Sungai Kandis.

"Luas melakukan pensampelan kualiti air dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Susulan itu katanya, tindakan lanjut diambil dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen Luas 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.

Pada masa sama, agensi itu juga berkomunikasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa agensi.

"Kerajaan Selangor dan Luas menegaskan dan menyeru kepada semua pemilik premis atau tapak industri supaya sedar, cakna dan prihatin terhadap aktiviti di tapak.

"Pastikan aktiviti, operasi, keselamatan dan penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan dipantau dengan sempurna supaya tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai," katanya.

Menurutnya, tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 7:36 AM