Shuk dan isterinya, Fara Salleh
Shuk dan isterinya, Fara Salleh
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : "Hubungan saya dengan anak-anak masih rapat dan saling berhubung walaupun mereka kini tinggal dan bersekolah di Sabah bersama keluarga bekas isteri di sana," kata pelawak dan pengacara sensasi, Shuk Sahar, 39, mengenai dua cahaya matanya.

Menurut Shuk atau Mohammad Shukri Mohammed Sahar, kemudahan teknologi masa kini sangat membantu dirinya dan anak-anak mengekalkan hubungan erat walaupun masing-masing terpisah jauh oleh jarak.

"Alhamdulillah, sekarang ini kita dah ada 'handphone' yang boleh 'video call' kan. Sebab, anak saya dah duduk di Sabah kerana bersekolah di sana.

"Pada saya pun, ibu saya dah tua umur 70 lebih dan ayah pula usia 84 yang tinggal di Pulau Pinang. Manakala, saya sekarang sibuk dengan berulang-alik antara Malaysia ke Singapura sebab berniaga di sana.

"Jadi, bila ibu mentua saya di Sabah kata mereka nak ambil satu keputusan untuk sekolahkan anak di sana, saya bagi yuran perbelanjaan (anak) untuk sekolah nafkah dan semuanya, maka kami bersetuju dengan cara yang baik," katanya kepada Harian Metro.

Shuk berkata, setakat ini segala urusannya dengan anak juga tiada masalah apabila mereka pasti menjawab setiap kali dia membuat panggilan video dan berjumpa sekiranya ada masa atau bertemu anaknya itu ketika mereka datang ke Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, buat masa ini masalah antara saya dan anak-anak tiada. Kami masih berhubung terus sebab anak-anak ini orang kata, kalau isteri kita akan dipisahkan dengan satu akad, tapi kalau anak-anak (hubungan) sampai mati.

"Cuma, untuk perkahwinan baharu saya dan isteri, Fara, kami belum lagi ada rezeki cahaya mata. Tapi, saya tak menolak kalau andai kata nanti ada anak. Kami tak buat perancangan pun. Sebab, pada saya anak ini rezeki.

"Saya sendiri sebenarnya suka dengan budak-budak. Jadi, andai kata kalau ada rezeki (anak), ada," katanya memberitahu Fara juga kini menguruskan perniagaan dalam bidang kosmetik yang beroperasi di Singapura.

Terdahulu, Shuk berkahwin kali kedua dengan wanita pilihannya iaitu Fara Salleh pada November tahun lalu dalam majlis pernikahan sederhana yang dihadiri keluarga dan sanak saudara.

Shuk sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial, Rossa Sera pada 2015 dan mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assiyfatu Aimi, 5.

Bagaimanapun disebabkan kontroversi kecurangan yang menghambat Shuk, membuatkan mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 22 Mac tahun lalu selepas pulang dari Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah bersama.

Bagi karier seninya pula, Shuk yang sebelum ini menyepi dari industri hiburan kira-kira dua tahun akan muncul dalam Dol's Podcast bersama dua rakan iaitu Shuib dan Fizie yang dulunya mereka pernah bergabung mengendalikan segmen Geng Pagi Hot di Hot FM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 12:06 PM