AKMAL Nasrullah melihat barang rampasan yang dilupuskan di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong. FOTO Hairul Anuar Rahim.
AKMAL Nasrullah melihat barang rampasan yang dilupuskan di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Amir Abd Hamid


Seri Kembangan: Kecurian tenaga melalui aktiviti perlombongan bitcoin yang semakin berleluasa di negara ini sudah mengakibatkan kerugian RM3.4 bilion dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah kerugian itu adalah berdasarkan data yang dikumpulkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi tempoh 2018 sehingga 2023.

Beliau berkata, walaupun ia mungkin peratusan kecil berbanding keseluruhan penggunaan tenaga tetapi nilai kerugian memberi kesan menyeluruh kepada negara.

"Jadi apabila kita bercakap soal kerugian kepada negara dan khususnya sektor tenaga sebenarnya bukan lagi jutaan tetapi sudah mencecah bilion ringgit. Paling signifikan dalam tempoh lima tahun kebelakangan adalah kecurian melalui aktiviti perlombongan bitcoin berjumlah RM3.4 bilion.

"Untuk kecurian yang lain ada juga membabitkan seperti pengubahsuaian meter, rumah kongsi melakukan penyambungan elektrik haram dan sebagainya yang berlaku di mana kaedah pengoperasian mengurangkan kecurian itu sentiasa dilakukan.

"Tetapi kita kena ambil maklum bahawa insiden atau kecurian daripada perlombongan bitcoin semakin berleluasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan gimik pelupusan rampasan Suruhanjaya Tenaga (ST) di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Ismail Zaili Yusop dan Ketua Pegawai Operasi ST, Dr Ir V Sanjayan.

Akmal Nasrullah berkata, bukan saja negara namun rakyat juga menanggung kesan kerugian hasil melalui pelarasan tarif atau sebagainya.

Terdahulu, sebanyak 2,022 barangan rampasan elektrik bernilai RM2.2 juta elektrik dilupuskan selepas didapati gagal mematuhi beberapa syarat ditetapkan ST termasuk tidak mempunyai label keselamatan ST-SIRIM.

Rampasan itu membabitkan sebanyak 349 mesin bitcoin, 1,219 peralatan elektrik tanpa label keselamatan SIRIM-ST, selain 445 kelengkapan dan sembilan peralatan masing-masing daripada kes kecurian elektrik dan barangan terbabit dalam kes kemalangan elektrik.

ST memperoleh arahan untuk pelupusan barangan rampasan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 407 Kanun Keseksaan Jenayah (Akta 593) membabitkan 46 Kertas Siasatan oleh suruhanjaya itu selepas selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.

Pelupusan mesin bitcoin itu hasil rampasan melalui operasi serbuan bersepadu, Ops Renjat yang dijalankan ST di lima premis tidak berpenghuni pada Oktober 2022 di mana terdapat pengubahsuaian dengan cara pintasan haram terus tanpa meter hingga menyebabkan kerugian RM1.3 juta kepada pihak utiliti.

Sementara barangan lain yang dilupuskan adalah kelengkapan elektrik yang dirampas ST dalam operasi penguatkuasaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 11:54 AM