FOTO AFP.
FOTO AFP.
Agensi

Madrid: Seramai 15 pelajar diletakkan di bawah tempoh pengawasan selama setahun oleh mahkamah di barat daya Sepanyol, semalam selepas didapati bersalah mencipta dan menyebarkan imej kecerdasan buatan (AI) rakan perempuan mereka.

Kes itu mencetuskan perdebatan berhubung bahaya dan penyalahgunaan teknologi pemalsuan wajah (deepfake).

Polis mula menyiasat kes terbabit tahun lalu, selepas ibu bapa di bandar Extremaduran di Almendralejo melaporkan gambar bogel anak mereka yang didakwa palsu tersebar di WhatsApp.

Ibu kepada salah seorang mangsa berkata, penyebaran gambar itu dikesan bermula awal Julai.

"Ramai kanak-kanak perempuan yang ketakutan dan mengalami kerisauan melampau kerana mereka menderita dalam diam. Mereka rasa sangat teruk (disebabkan gambar itu) dan takut untuk melaporkannya dan dipersalahkan," katanya kepada Reuters.

Pada Selasa, mahkamah juvana di bandar Badajoz mensabitkan remaja bawah umur itu atas 20 pertuduhan mencipta imej penderaan kanak-kanak dan 20 pertuduhan atas kesalahan integriti moral mangsa.

Setiap defendan diberi tempoh pengawasan setahun dan diperintah menghadiri kelas kesedaran jantina dan kesaksamaan serta mengenai penggunaan teknologi yang bertanggungjawab.

"Hukuman selepas terbukti bahawa mereka menggunakan aplikasi AI untuk mencipta imej (remaja bawah umur) dimanipulasi dengan wajah asal mangsa yang diambil daripada akaun media sosial dan menindih imej itu pada gambar badan wanita bogel.

"Gambar yang dimanipulasi itu kemudiannya dikongsi di dua kumpulan WhatsApp," menurut kenyataan mahkamah.

Polis mengenal pasti beberapa remaja berusia antara 13 dan 15 tahun sebagai pihak bertanggungjawab menghasilkan dan berkongsi imej AI berkenaan.

Di bawah undang-undang Sepanyol, kanak-kanak bawah 14 tahun tidak boleh didakwa, tetapi kes mereka dirujuk ke perkhidmatan perlindungan kanak-kanak, yang membolehkan mereka dipaksa mengambil bahagian dalam kursus pemulihan.

Dalam temu bual dengan Guardian lima bulan lalu, ibu salah seorang mangsa berkongsi rasa terkejut dan tidak percaya apabila anak perempuannya menunjukkan imej berkenaan.

"Anda akan terkejut apabila melihatnya. Imej itu seolah-olah gambar asli. Jika saya tidak tahu bentuk tubuh anak saya, saya mungkin anggap ia gambar sebenar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 12:23 PM