GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi Ops Sumber Air berjaya mengesan insiden pencemaran di alur KL-Larut ke Sungai Selangor pagi semalam.

Bagaimanapun, tiada henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) berlaku dan tiada gangguan bekalan air kepada pengguna.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata, susulan itu, kod kuning berdasarkan manual kecemasan pencemaran sumber air diaktifkan bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terbabit.

"Hasil siasatan menemukan kesan tompokan yang disyaki minyak hidraulik berhampiran sebuah kilang yang menjalankan aktiviti pengilangan besi.

"Bagaimanapun, kilang berkenaan sudah menghentikan operasi buat sementara waktu bermula 18 Mac lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Siasatan di tapak itu juga menemui longgokan tong minyak kosong selain terdapat kolam sisa minyak terpakai.

"LUAS mengambil tindakan pantas dengan memasang 'oil-boom' dan 'oil-pad' di kawasan alur terbabit bagi mengawal baki aliran minyak pada jarak 600 meter dari mengalir ke dalam Sungai Selangor," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Menurut kenyataan itu, pihak Air Selangor memasang 'oil-boom' berdekatan kawasan muka sauk Loji Rawatan Air (LPA) SSP1, SSP2 dan SSP3.

Selain itu, pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sedang dalam proses untuk menyedut sisa minyak berkenaan dengan kadar segera.

"LUAS juga sudah mengarahkan pemilik premis supaya menyediakan penghadang minyak bagi tangki simpanan minyak diesel untuk mengurangkan risiko tumpahan.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mengeluarkan arahan lapangan kepada pemilik premis tersebut agar menyimpan tong minyak kosong itu di kawasan tertutup," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, persampelan dilakukan oleh LUAS dan Air Selangor serta pemantauan rapi di tapak dilaksanakan dari semasa ke semasa bersama pihak berkaitan bagi memastikan pencemaran terkawal dan ditangani sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 3:00 PM