ANWAR Aidil mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ANWAR Aidil mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan terhadap seorang mangsa pada 8 April lalu.

Tertuduh, Putera Anwar Aidil Mazlan, 24, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, dia bersama dua yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu lawi ayam terhadap Muhammad Zhamaqsyary Mohd Zalkiman, 24, dengan mengambil jam tangan G-Shock, dompet, telefon bimbit dan motosikal Honda EX5.

Perbuatan itu dilakukan berdekatan kawasan perkuburan Kampung Pauh Lima, Gunong, Bachok, jam 10 malam, pada 8 April 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 397 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Edabayu tidak mencadangkan sebarang wang jaminan kepada tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Julai depan untuk fakta kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 1:57 PM