TERTUDUH (kiri) di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TERTUDUH (kiri) di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pemilik syarikat pemborong diesel didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 116 pertuduhan gagal mengemukakan dokumen berhubung pembelian diesel dan menyelenggara buku stok membabitkan 2.64 juta liter diesel bernilai lebih RM10 juta pada Disember 2022.

Tertuduh, Mohd Fared Ramli, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga 58, tertuduh iaitu pemilik perniagaan Wau Beremas Enterprise iaitu pemegang lesen pemborong diesel didakwa gagal mengemukakan dokumen dan maklumat dikehendaki Penolong Pengawal Bekalan berhubung pembelian diesel untuk tujuan eksport.

Kesalahan itu didakwa dilakukan 12.30 tengah hari di sebuah premis di Jalan Sultan Omar, Kampung Chepa pada 18 Disember 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(4)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama.

Manakala bagi pertuduhan 59 hingga 116, tertuduh didakwa gagal menyelenggara buku stok diesel yang tidak mengandungi maklumat tarikh, kuantiti, harga, nama dan alamat penjual atau pembeli bagi penjualan barang berjadual iaitu diesel untuk tujuan eksport di lokasi dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang juga suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Perturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Bagi kesemua pertuduhan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Suhana Mohd, manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Sukri Mohamed.

Terdahulu, Mohd Sophian memohon jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di pejabat KPDN setiap bulan.

"Kes ini membabitkan 116 pertuduhan yang menjadi kepentingan awam. Nilai keseluruhan invois adalah sebanyak 2,641,940 juta liter diesel membabitkan nilai lebih RM10 juta," katanya

Sementara itu, Sukri memaklumkan beliau tidak membantah dengan syarat yang dikenakan, namun memohon anak guamnya dapat melapor diri di KPDN Putrajaya.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat-syarat yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 23 Julai drpan sebagai tarikh pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 2:37 PM