Muhammad Haziq Aiman Azhar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhammad Haziq Aiman Azhar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang jurulatih Muay Thai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan iaitu merogol, melakukan amang seksual fizikal dan melakukan pecah rumah terhadap remaja perempuan berusia bawah 17 tahun antara Januari hingga Jun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Haziq Aiman Azhar, 25, mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bachok masing-masing 4 pagi pada Januari 2024 dan 4 pagi 9 April 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Bagi pertuduhan ketiga lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama di lokasi sama jam 5.45 pagi, pada 3 Jun 2024.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Pertuduhan keempat tertuduh didakwa melakukan pecah rumah didiami mangsa yang sama untuk menyerang penama secara seksual jam 5.45 pagi, pada 3 Jun 2024.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan amat serius dan membabitkan mangsa bawah umur.

Mahkamah menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 8:59 PM