DUA suspek yang ditahan reman. FOTO Ihsan Pembaca
DUA suspek yang ditahan reman. FOTO Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu membabitkan pengerusi syarikat bergelar Datuk dan pengarah syarikat sub kontraktor bagi membantu siasatan kes rasuah kerja menyiapkan pembinaan Projek Lebuh Raya bernilai lebih RM1 bilion di Lembah Klang.

Pengerusi syarikat itu direman selama lima hari sehingga Sabtu ini, manakala pengarah syarikat terbabit pula direman tiga hari sehingga Khamis ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 40-an hingga 50-an itu7 ditahan antara 9 hingga 12 tengah malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

"Kedua-dua suspek disyaki memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja projek pembinaan lebih raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain.

"Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan yang sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Beliau turut mengesahkan kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini dilepaskan selepas tamat tempoh reman termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya pada Isnin dengan jaminan RM150,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 8:34 PM