FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Pengarah urusan sebuah syarikat pengedar traktor pertanian direman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit dalam pemberian rasuah membabitkan projek pembekalan, penghantaran, pengujian serta pemasangan traktor pertanian bernilai lebih RM25 juta.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis ini terhadap wanita yang berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi hari ini.

Menurut sumber, wanita itu adalah antara tiga individu berusia lingkungan usia 40-an hingga 50-an yang ditahan SPRM termasuk seorang pengurus besar pemasaran dan seorang pengurus besar jualan di dua syarikat.

"Mereka dipercayai terbabit dalam penawaran dan pemberian rasuah kepada pegawai di satu syarikat perladangan sebagai balasan kerana memberikan projek berkenaan.

"Ketiga suspek itu ditahan pada 11 hingga jam 12 tengah malam tadi ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM, namun dua suspek yang berjawatan pengurus besar pemasaran dan jualan dilepaskan dengan jaminan kerana faktor kesihatan, manakala suspek yang berjawatan pengarah urusan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga suspek itu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 4:19 PM