SEORANG ahli perniagaan dan pemilik syarikat agensi pekerjaan ditahan reman hari ini di Mahkamah Putrajaya hari ini. FOTO ihsan SPRM
SEORANG ahli perniagaan dan pemilik syarikat agensi pekerjaan ditahan reman hari ini di Mahkamah Putrajaya hari ini. FOTO ihsan SPRM
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seorang ahli perniagaan dan seorang pemilik syarikat agensi pekerjaan direman bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes rasuah mendapatkan kuota pekerja asing di negara ini.

Penahanan itu susulan penahanan lapan individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat teknologi maklumat.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an dan 50-an itu ditahan jam 10 dan 12 malam tadi, di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sumber berkata, ahli perniagaan itu disiasat berhubung penerimaan wang rasuah berjumlah lebih RM1 juta daripada ejen pekerjaan manakala seorang lagi individu disyaki membayar rasuah kepada syarikat penyedia platform bagi permohonan pekerja asing.

Permohonan reman terhadap kedua-dua lelaki dibuat SPRM di hadapan Majistret Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan suspek direman tiga hari bermula hari ini.

SPRM sebelum ini menahan lapan individu dengan enam daripadanya direman tiga hari bermula semalam, manakala dua lagi individu, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas diambil keterangan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman dua individu terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 2:49 PM