SUSPEK kes suapan terhadap pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman.
SUSPEK kes suapan terhadap pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya kerana dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

CEO bergelar Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya berkenaan direman selama empat hari sehingga 28 Jun 2024.

Manakala, lima lagi individu iaitu pemilik syarikat pula direman selama tiga hari sehingga 27 Jun 2024.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, tiga suspek daripada syarikat konsesi berkenaan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita, manakala pemilik syarikat itu pula membabitkan lima lelaki yang kesemua berusia sekitar 40 hingga 50-an ditahan dalam Ops Lintas antara jam 8 hingga 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

"Tiga suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya ini disyaki telah meminta dan menerima rasuah daripada pemilik-pemilik syarikat berkenaan sebagai balasan bagi mendapat kontrak mengambil alih kerja-kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain bernilai lebih RM1 bilion.

"Selain itu, mereka juga dipercayai telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya lain di Lembah Klang yang bernilai lebih kurang RM670 juta. Keseluruhan nilai kedua-dua projek itu adalah berjumlah RM 11 bilion," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaha mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 8:12 PM