GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri yang tidak diiktiraf daripada Yang Dipertua Negeri Melaka dua tahun lalu.

Wan Yon Ann, 40, didakwa menggunakan darjah kebesaran tidak diiktiraf itu bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan dan profesion di sebuah restoran makanan segera di Jalan Ipoh, di sini pada 3 petang, 31 Julai 2022.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Undang-undang Negeri Melaka dan dituduh mengikut Seksyen 4A(5) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1981 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4A(6) enakmen sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 4:02 PM