Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua pertuduhan iaitu menipu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan menggunakan gelaran Datuk palsu untuk kepentingan sendiri, dua tahun lalu.

Tertuduh, Shamsubahrin Ismail, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang kini Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri membabitkan pembelian Toyota Alphard model 2019 bernilai RM180,000.

Tindakan itu mendorong mangsa menyerahkan wang RM95,000 bagi mendapatkan kenderaan dengan nombor pendaftaran khas iaitu VVP 7 itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan gelaran dan kehormatan sebagai 'Datuk' untuk tujuan keuntungan peribadi tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) 1981 dan boleh dihukum berpandukan Seksyen 5 enakmen sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda minimum RM250,000 dan maksimum RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Speaker DUN Melaka, di Seri Negeri di sini pada 7 Disember 2021.

SHAMSUBAHRIN minta dibicarakan terhadap pertuduhan menipu bekas Speaker dan menggunakan gelaran Datuk palsu. FOTI Meor Riduwan Meor Ahmad
SHAMSUBAHRIN minta dibicarakan terhadap pertuduhan menipu bekas Speaker dan menggunakan gelaran Datuk palsu. FOTI Meor Riduwan Meor Ahmad

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Peguam Loh Chon Mee yang menyebut bagi peguam Zulkifli Awang merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan tertuduh menghidap kanser kolon dan diabetes kronik selain sedang menjalani kemoterapi dan dialisis empat kali seminggu yang memerlukan perbelanjaan tinggi.

Katanya, tertuduh adalah bapa kepada lima anak termasuk dua masih bersekolah serta mempunyai empat lagi kes yang masih berjalan di Mahkamah Kuala Lumpur dan Selangor dan dikenakan jaminan RM110,000.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, Darmafikri membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 7 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 11:53 AM