GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang ahli perniagaan wanita ditahan kerana menyalahgunakan lencana bertulis 'Ahli Majlis Dato-Dato Negeri Kelantan Darul Naim' di dua kenderaan mewah miliknya.

Ahli perniagaan berusia 50-an itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sebuah rumah di Port Dickson, Negeri Sembilan jam 12.20 tengahari, semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, penahanan dibuat hasil laporan polis yang dibuat penjawat awam pada 26 Jun lalu berhubung salah guna lencana berkenaan.

Katanya, hasil penahanan ahli perniagaan itu pihak polis turut merampas dua kenderaan mewah Mercedes dan BMW.

"Kedua-dua kereta suspek terdapat lencana berwarna merah, hitam di nombor plat hadapan dan belakang bertulisan 'Ahli Majlis Dato-Dato Negeri Kelantan Darul Naim' berwarna keemasan.

"Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku menggunakan lencana itu pada dua kenderaan itu sejak lebih tiga tahun lalu.

"Suspek mengatakan kedua lencana terbabit diperoleh daripada seorang individu dengan harga RM5,000 setiap satu. Tiada alasan kukuh dapat diberi kerana menggunakan lambang itu," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, suspek turut memaklumkan tiada kaitan lencana berkenaan dengan mana-mana badan pertubuhan.

"Suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan kini dalam tahanan reman selama tiga hari sehingga 16 Julai untuk siasatan lanjut pihak polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5B Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) untuk siasatan di bawah kesalahan tipu dengan jalan samaran dan menggunakan gelaran anugerah yang tidak diiktiraf," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap kesalahan penggunaan gelaran serta logo atau lambang yang tidak diiktiraf pada kenderaan persendirian.

"Polis Kelantan dengan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan akan memantau dan mengambil tindakan terhadap kenderaan menggunakan lencana lambang tanpa kelulusan atau kebenaran.

"Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan tidak menampal sticker yang berlebihan di cermin kenderaan masing-masing yang boleh menghalang penglihatan pihak berkuasa terhadap pemandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 8:59 PM