Tengku Iskandar Tengku Ahmad, 71, ketika di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, hari ini. - Foto SARAH ZULKIFLI
Tengku Iskandar Tengku Ahmad, 71, ketika di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, hari ini. - Foto SARAH ZULKIFLI
Sarah Zulkifli


Petaling Jaya : Seorang ahli perniagaan yang mendakwa dirinya Kerabat Diraja Kelantan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap dua tuduhan menggunakan gelaran dan lambang Kerabat Diraja Long Yunus, tiga tahun lalu.

Tengku Iskandar Tengku Ahmad, 71, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, Tengku Iskandar didakwa tanpa kebenaran Sultan Kelantan menggunakan gelaran 'Yang Maha Mulia' pada surat kuasa bertarikh 31 Ogos 2014, yang ditandatanganinya dengan nama 'Yang Maha Mulia Tengku Iskandar Tengku Ahmad Panglima Raja'.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syarikat DU Tyre Sdn Bhd, Nombor 27, Jalan SS21/1A Damansara Utama, di sini, pada 3 petang, 31 Ogos 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Kelantan Enakmen Bil 8 1977 Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (mencegah daripada salahguna), yang boleh dihukum denda maksimum RM1,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 1:23 PM