GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang tindakan pembunuhan dilakukan terhadap anjing yang ditangkap dan juga binatang peliharaan yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J Arul Kumar berkata, anjing yang ditangkap dengan kerjasama pertubuhan bukan keajaan (NGO) akan dihantar ke pusat pelindungan dan dijaga oleh NGO masing-masing.

"Larangan ini bukan sahaja kepada anjing, tetapi juga kepada semua haiwan peliharaan dan jika terdapat sebarang aduan daripada penduduk di sesuatu kawasan, tindakan akan diambil.

"Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap isu anjing terbiar di kawasan perumahan yang dikatakan menganggu ketenteraman selain turut mendatangkan bahaya kepada penduduk.

"Untuk itu, usaha telah dilaksanakan dengan memandulkan anjing-anjing terbiar atau tidak bertuan yang ditangkap sebagai salah satu langkah untuk mengawal populasi anjing di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kaedah pemandulan anjing terbiar yang ditangkap adalah satu kaedah jalan tengah atau situasi menang-menang untuk mengatasi aduan anjing terbiar selaras dengan Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Arul berkata, RM100,000 disediakan oleh kerajaan negeri tahun ini untuk membantu menjayakan program pemandulan anjing. Menurutnya, setakat Mei tahun ini, 1,378 ekor anjing telah ditangkap dan dimandulkan serta dilletakkan di pusat perlindungan.

"Kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti beberapa kawasan tanah yang sesuai untuk dijadikan sebagai pusat perlindungan anjing sebagai sebahagian usaha menangani perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 5:44 PM