GAMBAR anjing dalam pusat kurungan kendalian Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
GAMBAR anjing dalam pusat kurungan kendalian Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca.
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) meneliti semula tatacara pengurusan pusat kurungan kendaliannya berikutan tular video anjing terbiar terabai di situ, baru-baru ini.

Malah Unit Vektor, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran (JPSPKP) MPKL sudah mengambil tindakan pembersihan kurungan haiwan yang ditangkap itu.

Menurut MPKL, pihaknya tidak mengabaikan anjing yang ditangkap tanpa penjagaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Anjing liar itu ditangkap oleh MPKL di sekitar daerah Kuala Langat adalah berdasarkan aduan awam yang diterima.

"Berdasarkan rekod, sebanyak 270 aduan dengan purata 22 aduan sebulan diterima MPKL tahun lalu dan sebanyak 1,153 ekor anjing ditangkap.

"Anjing yang ditangkap kebanyakannya berpenyakit, tidak terurus dan kurang nutrisi" katanya dalam kenyataan hari ini.

MPKL sudah menambah baik pengurusan Pusat Kurungan supaya lebih teratur dari segi jadual pembersihan dan pengendalian tatacara pemberian makanan kepada anjing-anjing yang ditangkap.

"MPKL tidak mengambil remeh soal kebajikan haiwan yang ditangkap hasil maklumat daripada orang awam.

"Semua haiwan yang ditangkap itu dijaga di Pusat Kurungan dengan diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan waktu petang.

'Makanan yang diberikan ialah makanan khas yang dibeli oleh MPKL dan anjing itu turut ditempatkan di tempat bersesuaian sepanjang berada dalam kurungan.

"Tempat kurungan itu turut dibersihkan secara berjadual bagi mencegah jangkitan kutu dalam kalangan haiwan di dalam pusat kurungan terbabit," katanya.

Pada masa sama, MPKL bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengambil dan menjaga anjing berkenaan.

"Sebanyak 110 ekor anjing diambil oleh NGO berkenaan pada semalam. MPKL juga akan melantik doktor veterinar berdaftar bagi tujuan pelupusan anjing itu.

"MPKL menyambut baik kesudian beberapa NGO lain yang berminat untuk mengambil haiwan yang ditangkap untuk ditempatkan di pusat perlindungan haiwan mereka," katanya.

MPKL juga meminta orang awam yang tidak lagi mahu memelihara anjing peliharaan boleh menghubungi dan menghantar haiwan peliharaan kepada NGO yang mempunyai tempat perlindungan haiwan itu.

"Pihak MPKL menyeru orang awam agar tidak membiarkan anjing peliharaan sendiri terbiar di jalanan.

"Peliharalah haiwan peliharaan dengan penuh kasih sayang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 11:49 PM