DR Marlia (kanan) aktif menyelamat kucing dan anjing jalanan di samping sibuk dengan tugasan harian. FOTO IHSAN DR MARLIA ZULKAPLI
DR Marlia (kanan) aktif menyelamat kucing dan anjing jalanan di samping sibuk dengan tugasan harian. FOTO IHSAN DR MARLIA ZULKAPLI
Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my


Simpang Renggam: Skop kerjanya sebagai doktor veterinar lebih kepada merawat, namun rasa kasih dan sayang mendorong Dr Marlia Zulkapli aktif sebagai penyelamat haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing jalanan.

Aktiviti itu dilakukan pada masa terluang dan Dr Marlia, 35, yang menetap di Pusat Perdagangan Setia, di sini tidak keberatan membantu individu kurang berkemampuan yang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan bagi haiwan dengan mengenakan caj rendah.

Bagi Dr Marlia, kesihatan dan nyawa haiwan tidak kira kucing, anjing atau apa saja jauh lebih berharga berbanding wang ringgit.

Menurutnya, beliau mula bertugas sebagai doktor veterinar di Port Dickson sejak 2011 selepas menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor.

"Kerja menyelamat kucing dan anjing bermula tidak lama selepas dihantar bertugas ke Ulu Tiram, Johor.

"Sejak kecil, saya terdedah dengan haiwan, malah sebelum ini ayah aktif menyelamat anjing jalanan, jadi itu salah satu sebab mendorong saya menyimpan cita-cita bergelar doktor.

"Kiranya, saya memang sukakan haiwan cuma keinginan menyelamat haiwan memuncak selepas mendapati banyak kucing jalanan di sebuah pasar borong dekat Johor Bahru dan paling menyedihkan apabila seekor daripadanya mati dilanggar kenderaan di depan mata saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

DR Marlia tidak berkira soal wang kerana utamakan kebajikan haiwan. FOTO IHSAN DR MARLIA ZULKAPLI
DR Marlia tidak berkira soal wang kerana utamakan kebajikan haiwan. FOTO IHSAN DR MARLIA ZULKAPLI

Dr Marlia berkata, kejadian itu membuatkan dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan kucing itu, lalu menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wira Kasseh Johor Bahru (JB) bagi menyelamatkan semua kucing jalanan di pasar borong itu untuk dimandulkan pada 2014.

Beliau berkata, kira-kira 300 ekor kucing jalanan diselamatkan secara purata setiap hari ketika itu dalam tempoh tiga bulan dan ia dibawa ke sebuah penempatan sementara di Taman Daya, Johor Bahru.

"Saya tidak bergerak sendiri ketika itu, tetapi bersama dengan NGO lain termasuk dari Singapura untuk melakukannya.

"Tidak semua kucing dimandulkan selepas diselamatkan kerana ada yang bunting, jadi perlu dilakukan selepas melahirkan anak.

"Jujurnya memang puas apabila dapat melakukan inisiatif itu kerana misi itu bertujuan mengurangkan pembiakan tidak terkawal dan mengelak pembuangan kucing oleh pemilik asal disebabkan mentaliti haiwan itu boleh terus hidup jika dibuang di pasar," katanya yang kini memelihara 300 kucing jalanan.

Dr Marlia berkata, selain sibuk dengan tugas hakiki dan kerja menyelamat haiwan jalanan, dia turut mengambil inisiatif melaksanakan program pemandulan di dua cawangan klinik miliknya di Pekan Nanas, Pontian serta Simpang Renggam, Johor.

Beliau berkata, program itu dilaksanakan dengan tujuan mengajak serta memupuk kesedaran kepada pemilik serta pembiak kucing khasnya mengenai kepentingan pemandulan.

"Selain pemilik, saya sering berurusan dengan pengusaha pusat perlindungan dan pembiak haiwan di klinik.

"Cabarannya apabila ada menolak saranan saya untuk melakukan kaedah pemandulan buat kucing mereka dan tidak kurang yang terlalu berkira soal duit.

"Ada masanya saya bertegas, tetapi kebiasaannya mengalah kerana keutamaan saya bukan duit, tetapi haiwan itu dan sebab itu tidak kisah walaupun ada pemilik tidak dapat membayar secara penuh," katanya.

Berkongsi hala tujunya, Dr Marlia berkata, selagi ada kudrat dia akan meneruskan usahanya bagi membela nasib haiwan terbiar.

Selain itu, katanya, dia memiliki impian untuk melihat tiada lagi haiwan jalanan terbiar di negara ini seperti mana di luar negara antaranya New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 8:12 PM