ANJING liar berkeliaran di  PPR Seri Semarak, Setapak. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANJING liar berkeliaran di PPR Seri Semarak, Setapak. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Lambakan anjing dan kucing terbiar berpunca daripada kekurangan sokongan masyarakat untuk menjalankan aktiviti pemandulan, kata Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (PHM), Arie Dwi Andika.

Arie berkata, pihaknya kini melaksanakan projek trap-neuter-release (perangkap-mandulkan-lepaskan), namun ia terhad kerana kekangan kewangan.

Justeru, katanya, pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi sama-sama menangani masalah itu.

Beliau turut mencadangkan pihak berkuasa mewujudkan 'taman khas' kepada haiwan yang terbiar itu dan memberi ruang kepada orang awam mengambilnya untuk dipelihara.

"Haiwan (anjing dan kucing) cepat membiak. Daripada berfikir cara 'melupuskan' haiwan itu, ada baiknya pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian.

"Pihak berkuasa boleh menyediakan penempatan khas bagi membolehkan haiwan terbiar ini terkawal," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM), R Kalaivanan berkata, pihaknya kini giat menjalankan projek trap-neuter-release dengan menjalankan pemandulan minimum 10 ekor anjing dan kucing jalanan setiap bulan.

"Sudah hampir setahun kami menjalankan projek ini, kami juga merancang menjalankan program pemandulan haiwan terbiar ini secara besar-besaran di setiap negeri dan kami akan cuba bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan veterinar untuk tujuan itu.

"Pun begitu, bagi merealisasikan program ini, kami memerlukan dana yang besar kerana pemandulan haiwan ini memerlukan kos tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 12:00 AM