Tan Sri Ismee Ismail. FOTO BERNAMA
Tan Sri Ismee Ismail. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes saman sivil AS$1.18 bilion dikemukakan SRC International Sdn Bhd terhadap Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini akan bersambung pada 29 Julai.

Peguam bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bahawa pihak pembelaan akan memanggil semula bekas pengarah syarikat SRC Tan Sri Ismee Ismail untuk disoal balas.

Bagaimanapun, Ismee kini berada di luar negara dan hanya akan kembali pada 30 Jun ini dan sehubungan itu, mahkamah menangguhkan perbicaraan kepada 29 Julai.

Ismee sebelum ini telah disoal balas oleh seorang lagi peguam Najib, Harvinderjit Singh, bagaimanapun Muhammad Shafee memohon beliau dipanggil semula kerana perlu menanyakan beberapa soalan lanjut.

SRC, di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman itu pada Mei 2021, mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balilk kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 5:37 PM