DATUK Seri Najib Razak diiringi pegawai Penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes saman SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Najib Razak diiringi pegawai Penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes saman SRC International di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail menafikan beliau adalah boneka kepada Datuk Seri Najib Razak ketika berkhidmat di syarikat pelaburan strategik negara itu.

Ismee yang menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh pada perbicaraan kes saman dikemukakan SRC terhadap Najib, berkata beliau bukan boneka bekas Perdana Menteri itu walaupun tidak pernah berfikir dua kali ketika menurut segala arahannya.

Menurut Ismee yang turut disaman sebagai pihak ketiga dalam kes saman terbabit, beliau bukan sahaja tidak memiliki nombor telefon peribadi Najib yang ketika itu Penasihat Emeritus SRC, malah tidak pernah bertemu bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk membincangkan hal berkaitan syarikat.

Ismee berkata, beliau tidak merasakan dirinya boneka Najib yang akan mengikut apa sahaja arahan tanpa banyak bertanya.

Ketika dicadangkan oleh Harvinder bahawa beliau (Ismee) tidak membuat justifikasi dan hanya melaksanakan tugas bagi pihak Najib, Ismee hanya menjawab, "tidak setuju."

SRC adalah subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada mulanya dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), namun pada 25 September 2009 Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) mengambil alih TIA dan dinamakan sebagai 1MDB.

Sementara itu, Ismee berkata, keputusan pemindahan dana berjumlah RM3.6 billion kepada syarikat SRC BVI yang dilantik untuk menjalankan aktiviti pelaburan luar negara dalam sektor sumber tenaga, adalah keputusan pemegang saham SRC (Najib) melalui resolusi pemegang saham.

Beliau berkata, pinjaman itu diperolehi SRC daripada kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebagai pelaburan dan dirinya serta ahli lembaga pengarah lain bukan dalam kapasiti untuk menentang hasrat pemegang saham SRC.

"Sehubungan itu, dakwaan dan tuntutan Najib terhadap saya sama sekali tidak berasas kerana saya dan Lembaga Pengarah SRC melaksanakan arahan dan keputusan pemegang saham dengan niat baik tanpa mengesyaki apa-apa perlakuan tidak baik atau perlakuan jenayah.

"Sebarang keputusan atau kelulusan berkaitan pelaburan oleh plaintif adalah atas keputusan dan kelulusan oleh pemegang saham melalui resolusi yang mana saya tidak mempunyai sebarang kawalan.

"Malahan saya tidak diberikan sebarang kuasa untuk mengawal selia urusan pentadbiran dan perniagaan SRC BVI yang mana syarikat itu ditubuhkan tanpa pembabitan dan pengetahuan saya," katanya.

Ismee berkata demikian melalui pernyataan saksinya dalam kes saman dikemukakan SRC terhadap Najib dan bekas CEO 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Sementara itu, Ismee pula dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.

SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Ia memohon perisytiharan bahawa semua defendan adalah bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 4:46 PM