GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa beliau menjadi tidak keruan dan takut ketika dipanggil memberi keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ismee yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pendakwaan ke-13 berkata, beliau dipanggil memberi keterangan oleh SPRM sebanyak dua kali pada 2015 dan 2018.

Ketika disoal peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Razak sama ada beliau diancam akan dikenakan tindakan undang-undang jenayah dan sivil oleh SPRM, Ismee menjawab: "Tidak."

Hariharan: Anda setuju, berada dalam keadaan sangat tertekan ketika anda dipanggil memberi keterangan pada 2018?

Ismee: Bukan tertekan, tetapi lebih kepada ketidakpastiaan. Rasa macam-macam…rasa takut, sebab kita tidak tahu apa yang berlaku. Bukan ditekan oleh sesiapa, tetapi, susah nak gambarkan perasaan saya ketika itu. Tidak tentu arah, tidak keruan.

Hariharan: Setuju, tiada pertuduhan jenayah dikenakan terhadap anda sehingga sekarang?

Ismee: Tiada

Ismee bagaimanapun, bersetuju bahawa beliau dikenakan larangan keluar negara dan disaman oleh 1MDB.

Hariharan: Setuju dengan saya, anda sangat tidak berpuas hati apabila mengetahui mengenai saman berkenaan?

Ismee: Ya

Hariharan: Anda menjadi sangat tidak berpuas hati kerana anda dijanjikan oleh SPRM bahawa sekiranya anda beri keterangan terhadap Najib dan bekerjasama, maka, tidak akan ada tindakan saman, antara lainnya?

Ismee: Tiada apa-apa yang dijanjikan.

Hariharan: SPRM juga menjanjikan bahawa anda akan dilindungi sekiranya bekerjasama?

Ismee: Tiada, tetapi saya memang bimbangkan keselamatan saya dan keluarga. Bila semua ini berlaku, kita risau tentang semua perkara. Mereka (SPRM) ada cakap saya tidak perlu paranoid. Tetapi tiada janji apa-apa daripada SPRM.

Pada 16 Ogos lalu, media melaporan, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan dalam tuntutan mahkamah AS$8 bilion terhadap bekas pemegang jawatan syarikat berkenaan.

Selain Ismee, mereka yang digugurkan daripada saman itu ialah bekas pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram; bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman serta bekas ketua pegawai kewangan, Azmi Tahir.

1MDB memfailkan saman itu Mei lalu bersama 1MDB Energy (Langat) Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd (dahulunya 1MDB Global Investments Ltd), 1MDB Energy Holdings Ltd dan 1MDB Energy Ltd.

Ismee berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap Najib, yang berdepan empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Terdahulu, pada perbicaraan itu, Ismee memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak sihat dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya keterangannya diteruskan pada tarikh lain kerana sukar untuk memberi tumpuan terhadap soalan pembelaan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 5:14 PM