SYED Saleh menyampaikan ucapan pada majlis penghargaan kepada 315 orang Sahabat Maktab, di Ibu Pejabat TH, Makkah. FOTO Husain Jahit
SYED Saleh menyampaikan ucapan pada majlis penghargaan kepada 315 orang Sahabat Maktab, di Ibu Pejabat TH, Makkah. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Sempadan di Mina sudah ditetapkan dan ditentukan hadnya kerajaan Arab Saudi, ini menjadikan agihan tapak-tapak perkhemahan yang terhad mengikut negara yang datang menunaikan haji pada sesuatu musim itu.

Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tidak kiralah sama ada satu juta, lima juta atau 10 juta jemaah jemaah yang datang, tetapi keluasannya tetap sama.

"Oleh itu, keadaan khemah yang sempit semasa di Mina adalah di luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji kerana setiap negara sudah diperuntukkan dengan keluasan tanah tertentu berdasarkan jumlah kuota jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Kuota 31,600 yang diperuntukkan adalah bersesuaian dengan keluasan tapak yang disediakan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. Setiap tahun kita cuba sehabis baik demi keselesaan jemaah haji Malaysia," katanya dalam ucapan pada majlis penghargaan kepada 315 orang Sahabat Maktab, di Ibu Pejabat TH, di sini, semalam.

Syed Salleh berkata, TH sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa termasuk menambah penyaman udara, menyediakan permaidani yang lebih tebal serta memasang jubin seramik di tapak khemah.

"Ramai jemaah yang merungut kerana tandas yang terhad, TH sudah mengajukan permohonan meningkatkan kemudahan itu, namun kerajaan Arab Saudi memaklumkan jika bilangan tandas ditambah, ruang keluasan khemah akan menjadi lebih kecil," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, TH akan mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan tandas bertingkat yang ada ketika ini selain cadangan untuk membina khemah bertingkat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan Syed Saleh merakamkan penghargaan terhadap 315 Sahabat Maktab yang mewakili sembilan maktab terdiri daripada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang memberikan khidmat mereka secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

"Kami amat bersyukur selain daripada selain daripada mempunyai tenaga kekuatan petugas haji seramai 670 orang, kami berbesar hati dan gembira mempunyai tenaga kerja tambahan dalam kalangan kalangan Sahabat Maktab," katanya lagi.

Beliau turut memuji sikap yang ditunjukkan Sahabat Maktab yang melakukan tanggungjawab dengan penuh sabar ketika menyantuni jemaah serta dedikasi termasuk berkorban masa beribadat serta berdoa semasa wukuf di Arafah.

Mereka membantu petugas TH terutamanya sewaktu ketibaan kumpulan penerbangan (KT) di maktab, kempen kebersihan, pergerakan operasi masyair, edaran makanan, 'headcount' selepas kembali dari Mina serta rawatan perubatan diperlukan, semua itu perlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi.

Pada majlis berkenaan, Syed Saleh turut melancarkan logo Sahabat Maktab yang pertama kali diperkenalkan ia diwujudkan pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 7:52 AM