Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) menzahirkan penghargaan kepada 315 Sahabat Maktab yang membantu menyantuni jemaah Malaysia di Tanah Suci sepanjang tempoh Musim Haji 1444H/2023M, termasuk ketika operasi masyair.

SEKITAR Majlis Penghargaan Sahabat Maktab TH bagi Musim Haji 1444H/2023M. FOTO Syuhada Choo Abdullah
SEKITAR Majlis Penghargaan Sahabat Maktab TH bagi Musim Haji 1444H/2023M. FOTO Syuhada Choo Abdullah

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata mereka meliputi 225 Sahabat Hujjaj, 54 Sahabat Ibadat dan 36 Sahabat Medik yang menyumbang masa serta tenaga bersama petugas haji bagi memastikan kebajikan jemaah.

"Program TH dapat dilaksanakan dengan jaya atas bantuan dan sokongan Sahabat Maktab, seperti ketibaan kumpulan penerbangan (KT) di maktab, kempen kebersihan, pergerakan operasi masyair, edaran makanan, 'headcount' selepas kembali dari Mina, serta rawatan perubatan diperlukan.

"Semua pengurus maktab memaklumkan bahwa seluruh Sahabat Maktab menyumbang bakti dengan penuh dedikasi.

"Malah ketika turun padang membuat tinjauan, saya dapat melihat sendiri sumbangan Sahabat Maktab.

"Saya amat terharu dengan komitmen semua Sahabat Maktab dalam membantu melicinkan kemasukan jemaah ke dalam 10 khemah di Arafah serta pergerakan mereka menaiki bas untuk berwukuf di Arafah, bermabit di Muzdalifah dan ketika di Mina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Meraikan Sahabat Maktab di Ibu Pejabat TH di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin, dan Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah.

Pada majlis sama, Syed Saleh turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Sahabat Maktab, selain mengumumkan mereka boleh menyimpan 'vest' tugasan itu sebagai kenangan manis pada musim haji ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 4:57 PM