Syuhada Choo Abdullah


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan kenyataan serta tuduhan yang mendakwa pihaknya tidak bertindak atas rungutan dan aduan berkaitan khemah di Mina pada musim 1444H/2023M, sebaliknya sentiasa mengutamakan kebajikan serta keselamatan semua jemaah Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman, berkata, ia termasuk aduan mengenai kerosakan pendingin hawa di sebilangan khemah jemaah Malaysia di Mina.

Katanya, pihak pengurusan maktab TH berusaha mengatasi masalah pendingin hawa yang tidak berfungsi baik, dengan menghubungi pihak yang bertanggungjawab supaya ia dibaiki pulih segera.

Selain itu, beliau berkata, TH juga mengambil beberapa inisiatif awal untuk menangani isu ruang sempit di khemah Mina yang diperkatakan segelintir pihak melalui portal dan media sosial.

Syed Hamadah menjelaskan, keadaan ruang sempit dalam khemah itu dihadapi jemaah Malaysia serta negara lain, lebih-lebih lagi dengan kuota penuh dan apabila ada kuota tambahan.

"Sempadan Arafah serta Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring pertambahan rakyat di sesebuah negara.

"Masalah ruang sesak ini dihadapi jemaah dari semua negara sejak sekian lama dan ia bukan situasi baru timbul. Ruang serta saiz khemah Mina adalah di luar kawalan TH kerana kemudahan di Arafah dan Mina disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara," katanya pada sidang media, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Malah, Syed Hamadah berkata, perihal ruang sempit di dalam khemah Mina itu sudah dimaklumkan kepada jemaah ketika kursus haji di tanah air dan taklimat masyair oleh pihak pengurusan maktab TH, termasuk menekankan bahawa tidak dapat tidur secara terlentang di situ disebabkan keadaan berkenaan.

Berikutan kekangan itu, katanya, TH sentiasa menasihati jemaah supaya hanya membawa satu beg beroda yang dibekalkan, bagi mengelakkan ruang terhad menjadi semakin sempit, namun hasil pemerhatian mendapati ada yang membawa lebih daripada satu beg ke khemah di Mina.

Beliau turut menjelaskan bahawa situasi 'satu tilam satu jemaah' hanya terpakai di khemah Arafah tetapi di Mina, tilam adalah sebagai alas dan bukan tanda ruang satu tilam untuk seorang jemaah.

"Perkara ini sudah dijelaskan oleh pengurusan maktab TH pada sesi taklimat masyair sebelum jemaah berangkat ke Arafah. Pengurusan maktab TH juga bersama jemaah di tempat khemah supaya bekerjasama dan bermuafakat untuk menyusun ruang yang ada mengikut alokasi nama jemaah dalam setiap khemah ditetapkan. Mereka juga membantu jemaah di khemah untuk menyusun kaedah terbaik memuatkan semua jemaah di dalam setiap khemah.

"Antara inisiatif awal diambil ialah pihak pengurusan maktab memberi sebahagian ruang diperuntukkan bagi pejabat dan penginapan petugas TH, termasuk ruang petugas muassasah, kepada jemaah haji bagi meningkatkan saiz ruang sedia ada.

"Namun, ada sebahagian jemaah tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana ini. Pihak TH membenarkan jemaah berulang alik dari Makkah ke Mina jika ada permintaan, dan ia adalah atas kesanggupan dan daya usaha jemaah itu sendiri.

"Di samping itu, TH juga meningkatkan nisbah Nafar Awal yang dahulunya hanya 10 peratus, kepada 20 peratus dan diteruskan hingga 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di khemah Mina," katanya.

Syed Hamadah berkata, ruang terhad di khemah Mina turut diperuntukkan dan mengambil kira keperluan bagi bilik air, dapur, stor makanan dan pejabat petugas muassasah yang akan memberi perkhidmatan kepada jemaah.

"Pihak berkuasa Arab Saudi juga sedang menambah baik kemudahan dan infrastruktur untuk menjaga kebajikan jemaah haji, termasuk pendingin hawa yang telah berfungsi begitu lama di khemah Mina.

"Pihak TH bersyukur tiada sebarang musibah berlaku, dan berdoa semua urusan jemaah Malaysia dipermudahkan serta dapat menyempurnakan ibadah haji mereka dan dikurniakan haji mabrur, Insya-Allah," katanya.

Beliau sekali gus menasihati mana-mana pihak, terutama portal supaya mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan TH sebelum mengeluarkan berita yang berkemungkinan boleh mendatangkan kegusaran dan keraguan rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 8:24 AM