FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Cabaran cuaca tidak menentu selain faktor ayam tua menjadi punca bekalan telur ayam bersaiz besar gred A dan B susut di pasaran ketika ini.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Chow Kit dan Sentul di sini tadi, mendapati, bekalan telur gred A dan B sukar diperolehi manakala telur ayam bersaiz lebih kecil seperti C, D dan E lebih mudah dibeli pengguna.

Peniaga telur di Chow Kit, Lee Chun Hour, 57, yang mengusahakan perniagaan keluarganya sejak 50 tahun lalu berkata, bekalan telur ayam gred A dan B berkurangan ketara sejak awal tahun ini.

Katanya, penurunan harga telur ayam sebanyak tiga sen, baru-baru ini juga tidak mempengaruhi bilangan stok bekalan telur kerana permintaan tinggi.

"Selepas hari raya (Aidilfitri) memang susah nak dapat bekalan, kalau ada pun tak banyak.

"Permintaan telur gred A dan B memang banyak biasanya lebih 2,500 papan kerana kebanyakan pelanggan saya peniaga bakeri, nasi lemak dan restoran.

"Pembekal ada beritahu stok telur bersaiz besar ini amat kurang kerana keadaan cuaca selain ayam tua pula berkurangan. Manakala ayam muda banyak sekali gus memang mempengaruhi pengeluaran saiz telur," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi peniaga telur di Pasar Sentul, Yap Lay Yim,50, juga mengakui masalah itu berlarutan sejak bertahun-tahun.

"Isu telur A dan B kurang ini bukan baru memang kita sudah lalui kesulitan ini bertahun-tahun," katanya ketika ditemui di Pasar Sentul di sini.

Katanya, isu kekurangan telur bersaiz besar itu kemungkinan berlaku disebabkan ayam muda lebih banyak berbanding ayam tua.

"Kadangkala mereka jual banyak ayam muda, jadi pengeluaran telur kecil. Telur gred C, D dan E lebih banyak berbanding ayam tua yang sedikit.

"Sedangkan permintaan untuk telur saiz besar ini memang tinggi. Bukan hanya pengusaha kedai makan dan bakeri malah pengguna biasa pun suka membeli telur bersaiz besar (gred A dan B ).

"Kami mengutamakan pembelian telur saiz A dan B untuk pelanggan tetap saja. Kalau ada lebih barulah kami jual kepada pengguna lain. Kami juga tidak boleh simpan stok telur terlalu lama kerana ia cepat busuk," katanya yang mengambil bekalan dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, pengusaha kek pisang, Maisarah Ramli, 40, mengakui kesukaran mendapatkan telur ayam gred A berbanding gred lain.

"Kalau telur gred A memang sukar ditemui di Taman Dato Senu di sini. Kalau ada pun kuantitinya tidak banyak dan terhad," katanya.

Pada 17 Jun lalu, kerajaan mengumumkan, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan tiga sen sebiji menjadikan harga baharu bagi gred A, B dan C masing-masing ialah 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji.

Justeru, harga baharu ditetapkan bagi telur ayam gred A ialah RM12.60 sepapan, gred B dan C masing-masing RM12 dan RM11.40.

Harga lama untuk bagi gred A ialah RM13.50 sepapan manakala gred B dan C masing-masing RM12.90 dan RM12.30.

#kw telur ayam, gred AB, kurang, faktor cuaca, ayam tua kurang, ayam muda banyak,

Peniaga telur ayam di Chow Kit, Lee Chun Hour, 57, menyusun telur di kedainya. FOTO NSTP

Peniaga telur ayam di Chow Kit, Lee Chun Hour, 57, menyusun telur di kedainya. FOTO NSTP

Peniaga telur ayam di Pasar Sentul, Yap Lay Yim,50, (kanan) bersama ibunya menyusun telur di kedai mereka. FOTO NSTP

Peniaga telur ayam di Pasar Sentul, Yap Lay Yim,50, (kanan) bersama ibunya menyusun telur di kedai mereka. FOTO NSTP

taken P / O

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 3:43 PM