Tinjauan penurunan harga runcit telur ayam. FOTO ROHANIS SHUKRI
Tinjauan penurunan harga runcit telur ayam. FOTO ROHANIS SHUKRI
Siti Norhidayah Mohd Yunus dan Nor Syazrina Muhamad Tahir


Kuala Lumpur: Segelintir peniaga didapati masih mengekalkan harga telur ayam walaupun kerajaan mengumumkan harga runcit bagi gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan tiga sen sebiji berkuat kuasa semalam.

Tinjauan Harian Metro di ibu kota dan Shah Alam hari ini mendapati jualan telur bagi gred A, B dan C untuk sepapan dilihat masih tiada perubahan harga.

Rata-rata peniaga memberi alasan masih tidak menerima maklumat daripada pihak pembekal berhubung perubahan harga.

Jualan telur untuk sepapan masih kekal pada harga RM14 (gred A), RM13 (gred B) dan RM13 (gred C).

Peniaga pasar pagi di Setapak, di sini, Yong Wei, 48, berkata tiada penurunan harga telur dilaksana buat masa sekarang berikutan arahan penurunan harga dikeluarkan oleh kerajaan masih baru.

Menurutnya, ia berikutan pihaknya masih tidak mendapat kata putus daripada pihak atasan untuk menurunkan harga telur kepada pelanggan.

"Banyak pihak perlu diberi perhatian untuk menyelaraskan penurunan harga telur ini termasuk pihak pembekal, peniaga dan pembeli agar ia tidak menimbulkan masalah di kemudian hari.

"Namun, saya pasti akan menurunkan harga tiga sen sebiji telur mengikut apa yang sudah diputuskan oleh kerajaan," katanya.

Katanya, penurunan harga runcit telur ayam untuk gred terbabit bagi mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat adalah usaha yang baik.

Pembantu kedai runcit di Shah Alam yang ingin dikenali sebagai Amin, 40-an, berkata kedainya masih menjual telur bagi kesemua gred dengan harga yang sama seperti dahulu.

"Penurunan harga sebanyak tiga sen untuk telur gred A, B dan C sangat bagus memandangkan kita akan guna telur hari-hari.

"Setakat pagi ini, saya dapat lihat pelanggan di kedai hanya membeli telur Omega yang berharga RM8 untuk 10 biji," katanya.

Sementara itu, pelanggan Hasimah Katan, 63, berpuas hati dengan penurunan harga telur sebanyak tiga sen sebiji yang diputuskan oleh kerajaan.

"Penurunan harga telur ini sejajar dengan usaha kerajaan yang ingin membantu rakyat dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini.

"Ia adalah inisiatif yang bagus terutama bagi golongan B40 yang lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup sekarang ini.

"Pada masa sama, saya juga berharap kerajaan dapat bekalkan lebih banyak bantuan dengan lebih efisien kepada rakyat pada masa akan datang," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan tiga sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata, kini harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa semalam.

Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini membabitkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada 2023, peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.

Harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 2:27 PM