Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Stok telur ayam di ibu kota 'lesap' sejak lebih sebulan lalu sehingga menimbulkan keresahan peniaga dan pengguna.

Tinjauan Harian Metro di beberapa lokasi tumpuan mendapati hanya telur ayam ayam gred C dan D dijual kepada pengguna sejak beberapa minggu lalu.

Malah, setiap pengguna hanya dihadkan kepada lima papan susulan bekalan yang terhad daripada pembekal.

Peniaga makanan, Zainantul Adnan, 27, sejak sebulan lalu dia terpaksa membeli telur ayam setiap hari kerana bekalan yang terhad di pasaran.

"Sebagai peniaga nasi lemak dan roti canai, telur menjadi keperluan utama berniaga namun kini sukar mendapatkan bekalan.

"Saya terpaksa menempah telur ayam daripada penjual sejak beberapa hari lalu dan terpaksa akur hanya telur gred C saja yang ada di pasaran," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Sementara itu, pekerja sebuah kedai runcit mengakui bekalan telur ayam sering terputus selain hanya telur gred C dan D saja dihantar pembekal.

TINJAUAN bekalan telur ayam didapati berkurang di Pasar pemborong Chow Kit sejak awal bulan ini. FOTI Hazreen Mohamad.
TINJAUAN bekalan telur ayam didapati berkurang di Pasar pemborong Chow Kit sejak awal bulan ini. FOTI Hazreen Mohamad.

Katanya, kedai juga terpaksa mengehadkan lima papan telur ayam untuk setiap pembeli kerana mahu adil kepada pembeli lain.

"Susah nak dapatkan telur gred A dan pembekal hanya menghantar bekalan hanya sekali seminggu," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sudah memaklumkan masalah ini kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi mencari penyelesaian segera.

Katanya, berdasarkan aduan diterima KPDNHEP, pasaran di Pantai Timur agak kritikal sejak beberapa minggu lalu.

"Namun, pasaran di Lembah Klang masih terkawal walaupun wujud kekurangan bekalan telur ayam.

"Kerajaan akan terus memastikan kemelut ini tidak akan berterusan untuk tempoh yang lama dan pembekal serta pengeluar diingatkan akan tidak menyorok bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 3:39 PM