PENIAGA telur, Md Sntu berdepan masalah bekalan telur ayam sejak kebelakangan ini. FOTO Azhar Ramli
PENIAGA telur, Md Sntu berdepan masalah bekalan telur ayam sejak kebelakangan ini. FOTO Azhar Ramli
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Rata-rata peniaga menyatakan bekalan ayam dilihat kembali pulih dan senang diperoleh berbanding bekalan telur.

Peniaga ayam, Yogi Abdul, 48, berkata, pihaknya melihat bekalan ayam kembali pulih pada minggu ini selain ia juga kini dijual mengikut harga kawalan.

"Bekalan ayam sudah kembali stabil dan pulih minggu ini. Kita juga sudah menjual ayam mengikut harga kawalan iaitu RM9.40 sekilogram.

"Sebelum ini harga ayam naik sehingga RM9.80 sekilogram," katanya ketika ditemui Harian Metro di Pasar Chow Kit hari ini.

Sebelum ini dilaporkan bekalan ayam dan telur diunjurkan stabil bagi suku pertama tahun ini dengan purata lebihan ayam sebanyak 16,846,447 ekor sebulan berbanding keperluan 75,004,487 ekor bagi tempoh sama.

Bagi telur, terdapat lebihan 119,856,950 biji telur sebulan berbanding keperluan 1,004,506,942 biji telur.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga ayam, Mohd Yusni Fahmi, 28, turut bersetuju bahawa bekalan ayam sudah kembali pulih dan pihaknya tidak mempunyai masalah untuk memperolehnya daripada pemborong.

Bagaimanapun katanya, harga ayam naik 10 sen bagi minggu ini.

"Setakat ini harga naik 10 sen. Daripada RM8.90 sekilogram kepada RM9," katanya.

Dia juga turut menjangkakan bahawa harga ini berkemungkinan akan naik menjelang Aidilfitri nanti.

"Dijangka naik itu ada. Tapi minta-minta janganlah naik sampai RM10," katanya.

Peniaga telur, Md Sntu, 43, berkata, dia masih menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan telur.

Katanya, pemborong hanya menghantar seminggu sekali padanya.

"Dan saya memesan lebih 1,000 biji telur tetapi yang dihantar hanyalah 450 biji saja.

"Disebabkan kurangnya bekalan telur ini, saya terpaksa hadkan penjualan kepada pembeli yang mahu membeli telur.

"Sebagai contoh mereka meminta dua papan, tetapi saya hanya berikan satu papan saja," katanya.

Dia juga turut menggesa agar masalah ini dapat diatasi dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 5:07 PM