Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil.
BERNAMA

Nibong Tebal: Tindakan beberapa pihak yang "menunggang" isu penyertaan BlackRock Inc dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) merupakan satu tindakan politik sempit bertujuan mewujudkan persepsi jahat dalam kalangan rakyat.

Menyelar tindakan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia bukan sahaja mewujudkan "kepalsuan", malah menyifatkannya sebagai a very short sighted approach yang mampu merosakkan perancangan negara.

"Mereka yang cuba menunggang isu ini tidak melihat kepada kepentingan kita menambah baik mutu perkhidmatan di lapangan terbang.

"Sejujurnya, BlackRock tiada kaitan secara langsung dengan perbincangan antara MAHB dan Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat yang dirasakan mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membantu kita memulihkan dan menambah baik lapangan terbang," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui ketika hadir memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin pada proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap di sini hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata BlackRock merupakan pelabur institusi dan terlibat sebagai pemegang saham pelbagai syarikat di seluruh dunia, bukan hanya di Malaysia.

Dalam isu penstrukturan semula MAHB, beliau menjelaskan bahawa 70 peratus saham entiti itu dipegang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan golden share, selebihnya kepada GIP, dan tiada saham dijual kepada BlackRock.

Justeru, beliau menegaskan semua keputusan strategik dalam MAHB masih di tangan kerajaan Malaysia antaranya dalam urusan menentukan pemilihan jawatan-jawatan penting termasuk pengerusi, ketua pegawai eksekutif, dan memastikan tiada mana-mana petugas akan dibuang kerja.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata isu ini telah dibincangkan pada peringkat Jemaah Menteri dan setakat ini tidak berlaku sebarang percanggahan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan berhubung isu itu dan ia masih boleh dibincangkan sekiranya terdapat masalah.

Semalam, GIP menegaskan BlackRock tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan MAHB melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 2:46 PM