GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kemungkinan penstrukturan semula ekuiti Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan memberi manfaat kepada negara, terutamanya jika ia menyokong penaiktarafan dan pemodenan berterusan lapangan terbang negara serta kemudahan dan perkhidmatan sampingan, kata pakar ekonomi.

Dilaporkan pengendali lapangan terbang itu sedang mempertimbangkan penswastaan berikutan khabar angin tentang penjualan kepentingannya kepada firma ekuiti swasta Global Infrastructure Partners (GIP).

Bursa Malaysia Bhd hari ini telah meluluskan permintaan MAHB untuk penggantungan dagangan berkuat kuasa dari 9 pagi hingga 5 petang sementara menunggu pengumuman penting.

Saham MAHB kali terakhir didagangkan pada harga RM10.40 sesaham.

GIP yang beribu pejabat di New York ialah pelabur infrastruktur terkemuka, memiliki dan mengendalikan beberapa aset besar dan paling kompleks merentas sektor tenaga, pengangkutan, infrastruktur digital serta pengurusan air dan sisa.

Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Profesor Dr Yeah Kim Leng berkata sebarang penambahbaikan yang menyumbang kepada pertumbuhan masa depan syarikat akan meningkatkan daya saing dan keuntungannya.

"Seperti yang disebut oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke, keputusan korporat berkenaan pemilikan oleh syarikat awam tersenarai sebaiknya diserahkan kepada entiti itu selagi keputusan sedemikian tidak memberi kesan negatif kepada kepentingan negara.

"Para pemegang saham berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memutuskan bagaimana tindakan melupuskan kepentingan itu berupaya meningkatkan nilai dan pemegangan saham," katanya kepada Bernama.

Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing memegang 33.2 peratus dan 7.0 peratus dalam MAHB.

Laporan berita menyebut 30 peratus kepentingan dalam MAHB akan dijual kepada GIP, sebuah syarikat pelaburan infrastruktur yang melabur dalam ekuiti dan hutang terpilih.

Pada masa ini MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLports (landasan berlepas dan mendarat yang pendek). Selain itu, ia memiliki dan menguruskan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye.

Ditanya mengenai tindakan tegas Malaysia terhadap perdagangan dengan Israel, Yeah menganggap sebagai syarikat global, tidak mungkin GIP tidak akan mempunyai sebarang aset atau aktiviti yang dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan Israel.

Beliau berkata ini adalah dilema yang perlu diselesaikan oleh kerajaan, mungkin melalui barangan atau bukti hubungan langsung di antara GIP dengan Israel.

Yeah berkata beliau juga tidak pasti sama ada kerajaan memegang 'saham istimewa' dalam aset-aset strategik negara, terutamanya MAHB.

"Tetapi sebagai sektor yang sangat dikawal selia, walaupun tanpa 'saham istimewa', kerajaan boleh memastikan syarikat terus beroperasi selaras dengan dasar dan rangka kerja undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 4:47 PM