Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan menegaskan tiada penjualan saham membabitkan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat asing seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya berkata, pemilikan saham Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MAHB meningkat daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, bakinya iaitu 30 peratus lagi dimiliki oleh Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

"Adakah kita ada penjualan membabitkan lapangan terbang? Tidak. Eksesais ini hanya melibatkan pengurusan. MAHB itu syarikat yang menguruskan lapangan terbang.

"Lapangan terbang kekal milik Kerajaan Malaysia. Ini sama seperti MAHB diberi izin oleh Kerajaan Turkiye menguruskan Istanbul Sabiha Gokcen International Airport. Kita diberi hak mengurus tapi milik kekal kerajaan Turkiye.

"Jadi, berbeza kita menjual hak Malaysia kepada Zionis Israel. Ini kritikan baik tetapi biarlah berdasarkan fakta," katanya sewaktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

MAHB
MAHB

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) tentang keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP.

Mengulas soalan tambahan Mohd Shahar mengenai isu keselamatan, Anwar menegaskan, isu berkenaan tidak berbangkit kerana ia masih lagi milik kerajaan.

"Faktor keselamatan tidak berbangkit kerana masih milik kerajaan. Keselamatan tanggungjawab kerajaan. Pengerusi syarikat dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) masih rakyat Malaysia," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut memaklumkan semua pelaburan membabitkan Permodalan Nasional Bhd (PNB), KWSP dan Khazanah bukan urusan Kabinet.

"Semua pelaburan PNB, KWSP dan Khazanah itu bukan urusan Kabinet. Saya lihat juga minit mesyuarat Kabinet sebelumnya.

"Keputusan pelaburan Khazanah, PNB atau KWSP tidak dirujuk untuk Kabinet termasuk rakan di sebelah sana (pembangkang semasa) menganggotai Jemaah Menteri.

"Kalau ada ahli Kabinet yang membangkitkan bahawa kami tidak tahu, itu betul kerana saya maklumkan selepas keputusan dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 11:38 AM