Wakil SSP berhimpun di luar bangunan MOT sebelum menyerahkan memorandum. FOTO Samadi Ahmad
Wakil SSP berhimpun di luar bangunan MOT sebelum menyerahkan memorandum. FOTO Samadi Ahmad
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menggesa kerajaan menarik balik tawaran pegangan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) bagi membentuk konsortium bersama 'Global Infrastructure Partners' (GIP) yang dimiliki Blackrock, pemilik kepada syarikat pengeluar senjata untuk Israel.

Jurucakapnya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan itu bertentangan dengan prinsip kerajaan Madani yang dikatakan berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin.

Katanya, kerajaan digesa menghentikan sebarang usaha dibuat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) membentuk konsortium bersama syarikat pengeluar senjata untuk Israel, GIP, bagi memiliki pegangan MAHB.

"Kerajaan juga perlu menjawab persoalan dibangkitkan rakyat berkenaan isu ini secara tuntas dan profesional serta membatalkan tawaran sukarela prasyarat yang dibuat oleh 'Gateway Development Alliance' (GDA)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini, hari ini.

Memorandum diserahkan kepada Setiausaha Bahagian (Pentadbiraan) MOT Roslan Mohammad.

Turut hadir Ketua Penerangan Parti Pejuang Rafique Rashid, aktivis yang juga bekas Naib Presiden PKR Tian Chua dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Imran Sulaiman.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock Larry Finn pada kenyataan menyatakan, isu penjajahan negara haram Israel secara jelas bertentangan dengan polisi luar Malaysia dan perkembangan semasa antarabangsa yang menolak jenayah kemanusiaan yang sedang dilakukan Zionis.

GIP dan BlackRock juga dilihat mempunyai kepentingan saham dalam beberapa syarikat pembuatan senjata yang membuat keuntungan atas konflik yang berlaku di Palestin.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, perkara ini bukan membabitkan isu politik, malah rakyat berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan segala ucapan dan pendirian terhadap isu Palestin yang disuarakan ketika berucap di luar negara dikotakan.

Menurutnya, ketika kerajaan terus lantang menyuarakan keadilan buat rakyat Palestin, khususnya di Gaza dan mengecam Israel, tindakan membenarkan GIP memiliki dan mengurus MAHB menerusi pembentukan konsortium itu adalah tidak wajar.

"Keputusan kerajaan menawarkan nilai ekuiti hampir lima bilion turut menimbulkan persoalan sudah tiadakah syarikat lain yang boleh mengisi ruang itu, termasuk syarikat milik warga Malaysia.

"Maklum balas kerajaan, khususnya Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Anwar selaku Pengerusi Khazanah, dilihat tidak serius dalam menguruskan persoalan dibangkitkan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 1:19 PM