Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan 14,417 kesalahan sepanjang 10 hari pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 di seluruh Selangor. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan 14,417 kesalahan sepanjang 10 hari pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 di seluruh Selangor. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan 14,417 kesalahan sepanjang 10 hari pelaksanaan Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 di seluruh Selangor.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi bagi tempoh 10 hingga 19 Jun itu merekodkan 57,491 pemeriksaan kenderaan.

Menurutnya, hasil operasi JPJ Selangor mengambil tindakan ke atas 13,417 kenderaan dan sebanyak 14,417 notis dikeluarkan.

"Notis saman paling banyak dicatatkan iaitu 11,118 kes, notis larangan penggunaan kenderaan (1,338 kes), notis arah periksa kenderaan (1,407 kes) dan notis sita kenderaan (544 kes).

"Kesalahan paling banyak direkodkan ialah isu teknikal iaitu sebanyak 4,697 kes, diikuti tiada lesen memandu kompeten (CDL) (3,022 kes), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,320 kes), tiada perlindungan insurans (1,893 kes) dan selebihnya lain-lain kesalahan," katanya ketika ditemui selepas Op HRAA di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 5, di sini, hari ini.

Beliau berkata, OP HRAA 2024 dilaksanakan sehingga 30 Jun dengan memastikan penguatkuasaan dilaksana dengan impak tinggi bagi meminimumkan kadar kemalangan serta kematian akibat nahas jalan raya.

Katanya, pelaksanaan operasi dibuat menerusi sekatan jalan raya, kaedah penyamaran bergambat dengan menggunakan kenderaan tanpa logo selain penyamaran sebagai penumpang bas.

"Sembilan kesalahan utama ditekankan iaitu tidak patuh had laju, tidak patuh isyarat lampu merah, memotong di garisan kembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit, tidak pakai tali pinggang atau topi keledar, memandu kenderaan berat di lorong laju serta lebih muatan.

"Pelaksanaan Op HRAA 2024 ini diharap dapat kurangkan kadar kemalangan jalan raya selain pematuhan peraturan dan undang-undang di tahap tertinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:50 AM