Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor membuat pemeriksaan kenderaan dan dokumen perjalanan pada Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024.
Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor membuat pemeriksaan kenderaan dan dokumen perjalanan pada Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024.
BERNAMA

Petaling Jaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 14,417 notis atas pelbagai kesalahan dalam Op Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 bagi tempoh 10 hingga 19 Jun lalu.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, jumlah itu membabitkan saman sebanyak 11,118 notis, larangan penggunaan kenderaan (1,338), arah periksa kenderaan (1,407) dan penahanan kenderaan sebanyak 554 notis.

"Kesalahan paling banyak direkodkan ialah isu teknikal iaitu 4,697 kes, diikuti tiada lesen memandu kompeten (3,022), lesen kenderaan motor tamat tempoh (2,320), tiada perlindungan insurans (1,893) dan selebihnya lain-lain kesalahan.

"Op HRAA 2024 akan dilaksanakan hingga 30 Jun bertujuan memastikan penguatkuasaan dilaksana dengan impak tinggi bagi meminimumkan kadar kemalangan serta kematian akibat nahas jalan raya," katanya kepada pemberita selepas Op HRAA di Plaza Tol Sunway di sini malam tadi

Mengenai Op HRAA 2024 di plaza tol tersebut yang dijalankan kira-kira empat jam bermula 8 malam, Ahmad Kamarunzaman berkata, 318 kesalahan dikesan hasil pemeriksaan terhadap 1,220 kenderaan.

Menurutnya, pelbagai kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh, kesalahan teknikal serta cermin gelap.

"JPJ mengeluarkan 261 saman dan menyita 23 kenderaan, manakala 18 kenderaan lain diarah periksa selain 16 notis larangan penggunaan kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 10:38 AM