JSPT menjalankan operasi sekatan jalan raya besar-besaran di berhampiran stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, di sini, hari ini. FOTO ihsan PDRM
JSPT menjalankan operasi sekatan jalan raya besar-besaran di berhampiran stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, di sini, hari ini. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Cuba berpatah balik selain hubungi rakan lain selepas melihat sekatan jalan raya besar-besaran di berhampiran stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, di sini, hari ini.

Itu antara tindakan pengguna jalan raya yang dikesan sepanjang pelaksanaan Op Bersepadu diketuai Pegawai Turus Risik Operasi Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Bukit Aman Asisten Superintendan Mohd Rizam Surani dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Malah beberapa penunggang motosikal sanggup membahayakan nyawa dengan melawan arus.

Tindakan itu bukan saja dilakukan kumpulan motosikal kapcai, malah turut dilakukan kumpulan motosikal berkuasa tinggi.

Operasi itu juga 'dihangatkan' dengan bunyi bising ekzos motosikal selain pengguna lebuh raya yang merakam tindakan operasi dijalankan itu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, operasi bermula jam 7 pagi itu mengeluarkan 28 saman atas pelbagai kesalahan.

"Pecahan kesalahan iaitu tiga kes tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh (satu kes), ubah suai ekzos (tiga kes), tidak pamer pelekat L (satu kes), nombor plat kabur atau fancy (16 kes) dan selebihnya lain-lain kesalahan.

"Sebanyak 80 kenderaan membabitkan 44 kereta dan 36 motosikal diperiksa dalam operasi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasri berkata, pihak JPJ mengeluarkan 18 notis saman termasuk 16 kenderaan diarah periksa.

"Objektif operasi sebagai advokasi kepada pengguna jalan raya tentang keutamaan keselamatan semasa menggunakan lebuh raya.

"Kita mahu memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang termasuk kenderaan yang digunakan mengikut spesifikasi yang betul berikutan banyak aduan awam yang diterima di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur," katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil hanya kepada yang ingkar dan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain seperti kenderaan diubah suai dan spesifikasi kenderaan tidak lengkap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 3:44 PM